Sembilan rakyat Malaysia cedera, seorang kritikal insiden pesawat SIA 'rempuh' gelora udara kuat


  • Primer
  • Rabu, 22 Mei 2024

Seramai sembilan rakyat Malaysia cedera dalam pesawat Singapore Airlines ketika dalam perjalanan ke Singapura. — Agensi

SEMBILAN rakyat Malaysia yang menaiki pesawat Singapore Airlines penerbangan SQ321 sedang dirawat di dua hospital yang terletak di Bangkok, Thailand, kata Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra, enam daripada mereka berada di Hospital Samitivej Srinakarin manakala tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

"Semua mangsa mengalami kecederaan fizikal dan dalaman dengan seorang mangsa mengalami kecederaan kritikal tetapi dalam keadaan stabil.

BACA LAGI: Cef tidak pernah jejak Malaysia, restoran Laut di New York dapat Bintang Michelin

BACA LAGI: Usahawan OKU buka maahad tahfiz, dorong murid kuasai ilmu agama, Bahasa Mandarin

WhatsApp Image 2024-05-22 at 1.23.45 PM

Seramai sembilan rakyat Malaysia cedera dalam pesawat Singapore Airlines ketika dalam perjalanan ke Singapura. — Agensi

"Mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Tambahnya, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital selain menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia terbabit.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang beralamat di Kronos Sathorn Tower Level 17, 46 North Sathorn Road, Silom Bang Rak, Bangkok atau menerusi talian +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat) atau +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat).

Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

“Kementerian ucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan kesembuhan segera kepada semua yang cedera dalam kejadian malang ini," katanya.

Pada Selasa, seorang penumpang maut manakala beberapa lagi cedera apabila pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju Singapura mengalami keadaan gelora udara (turbulent) kuat.

Menurut laporan, enam penumpang cedera parah, 39 cedera sederhana dan 26 cedera ringan.

Ketua Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn turut memaklumkan bahawa mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah seorang warga British berusia 73 tahun. — The Star/Tarrence Tan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram