[VIDEO] Anjur Pesta Aloha, kerajaan Terengganu siasat pengusaha resort Pulau Lang Tengah


  • Massa
  • Rabu, 22 Mei 2024

Tangkap layar penganjuran Pesta Aloha di sebuah resort terkemuka dekat Pulau Lang Tengah, Setiu, Terengganu pada Isnin.

KERAJAAN negeri Terengganu akan memanggil pengurusan sebuah resort terkemuka di negeri terbabit susulan penganjuran Pesta Aloha di Pulau Lang Tengah, Setiu pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya penganjuran parti pantai terbabit didapati benar-benar telah melanggar menyalahi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu 2020.

"Kita mahu mendengar keterangan pengusaha resort persendirian itu terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan susulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Gerabak KTMB dicemari 'disko bergerak', tidak selari konsep Malaysia Madani

BACA LAGI: [VIDEO] Kes mercun baling mercun ke penari tarian singa di Sandakan selesai secara baik

"Sekiranya terdapat elemen kesalahan sama ada garis panduan hiburan dan kebudayaan serta kelulusan permit, kita akan bertindak,” katanya menurut laporan The Star pada Rabu.

Jelasnya, siasatan berhubung penganjuran pesta tersebut akan turut melibatkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai bukti kesalahan penganjuran parti di Pulau Lang Tengah terbabit.

“Jika ada bukti kesalahan atau orang Islam turut terlibat menyertai parti itu, salurkan segera kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, penganjuran pesta Aloha itu tular di laman media berikutan aktiviti serta acara tarian dijalankan dikatakan tidak sejajar dengan konsep agama di negeri terbabit.

Malah, kebanyakan pesertanya didakwa terdiri dalam kalangan bukan Islam dan berpakaian mencolok mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram