KKM pantau gelombang baharu Covid-19 dari Singapura, rakyat rayu segera tutup sempadan, jangan jadi seperti sebelum ini


  • Massa
  • Selasa, 21 Mei 2024

Kes Covid-19 dilaporkan semakin meningkat dengan varian baharu dilaporkan mula dikesan di Singapura. — Gambar hiasan/Agensi

PENINGKATAN kes Covid-19 yang dilaporkan melonjak dua kali ganda di Singapura baru-baru ini mengundang resah dalam kalangan rakyat tempatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia merupakan gabungan kes melibatkan dua sub varian iaitu KP.1 dan KP.2 sekali gus menyumbang lebih dua pertiga kes wabak tersebut di Singapura.

"Di Malaysia, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada 12 hingga 18 Mei 2024 ialah 1,230 berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya dengan peningkatan 14.8 peratus.

"Tiada kematian baharu akibat wabak berkenaan dilaporkan sejak 25 April 2024," ciapnya menerusi perkongsian di Twitter pada Ahad.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dilaporkan sedang memantau rapi gejala berkenaan dengan sistem kesihatan negara difahamkan sentiasa dalam keadaan bersedia.

Namun, situasi itu berbeza dengan keresahan rakyat yang kini rata-ratanya mula panik dan gerun akan penularan wabak berkenaan.

Meskipun kes Covid-19 negara masih dalam keadaan terkawal, warganet mula menggesa agar kerajaan khususnya KKM lebih peka dan mengambil pengajaran atas apa yang berlaku sebelum ini.

Menggesa pintu sempadan Johor dan Singapura mula diperketatkan, pergerakan keluar dan masuk pekerja dari kedua-dua negara ini seharusnya mula dikawal atau sebaiknya ditutup bermula dari peringkat awal.

"Elok perketatkan pemeriksaan di sempadan, jangan jadi macam dulu, Covid-19 dari China dah parah merebak dalam negara baru nak kalut tutup," kata Mat Topsky.

"Tutup pintu sempadan segera tolonglah KKM, ambil pengajaran yang dulu, kita dengan Singapura terlampau dekat dan ramai keluar masuk," ujar FariniAzz.

"Tutup sempadan segera, ini semua pembawa gejala dari seberang negara, serik la nak berkurung lagi dah," tambah OgyHansi.

"Singapura dah mula naik varian baharu katanya, kalau KKM masih lalai tak tahu nak kata apa, rakyat menderita 2.0," jelas HanisuuYat.

Mengenai varian yang menular ketika ini, Dzulkefly Ahmad berkata, KKM telah melaporkan setiap KP 1.1 dan KP.2.1 pada Mac 2024, dengan kedua-duanya hanya mengalami gejala ringan dan tidak melaporkan sebarang peningkatan ketara dalam kes Covid-19.

Justeru, beliau berkata KKM akan terus memantau keadaan tersebut sementara memberi jaminan sistem kesihatan ketika ini bersedia untuk menghadapi sebarang lonjakan kes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram