SEJAK Sabtu lalu, tular beberapa video memaparkan sebuah acara hiburan yang difahamkan berlangsung di gerabak milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini.
Menerusi beberapa foto dan klip yang tersebar di media sosial memaparkan suasana pengunjung yang dilihat menari sambil mendengar lagu yang dipasang oleh DJ di dalam tren yang sedang bergerak.
Menurut laporan media, acara tersebut yang dikenali sebagai Pinkfish Express dan berlangsung pada 16 Mei lalu itu merupakan festival hiburan pertama di Asia Tenggara yang diadakan di atas kereta api.
BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR
BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel
Difahamkan, ia juga merupakan acara pembukaan untuk pesta utamanya iaitu Pinkfish Festival yang akan diadakan di Lembah Klang pada bulan depan.
Susulan daripada video dan foto tersebar mengenai acara tersebut, orang ramai tampil berkongsikan pandangan mereka di media sosial dengan rata-ratanya memberikan respons agak negatif terhadap penganjuran festival tersebut.
Bagi Amin Mohd Shukor, dia berpandangan bahawa acara hiburan sedemikian disifatkan jelas tidak selari dengan hasrat kerajaan yang berobjektifkan Malaysia Madani serta kaya dengan adat ketimuran.
Dia yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Damansara turut melahirkan kekesalan kerana penganjuran itu dipercayai melibatkan kerjasama dengan KTMB yang merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Pelbagai persoalan timbul sebenarnya, adakah GLC dalam kerajaan sekarang sudah terdesak mencari untung dan populariti? Ataupun sudah ada polisi baru bagi mana-mana GLC untuk fokus pada penganjuran sebegini.
"Menjayakan hasrat Kerajaan Madani perlu menjadi aspirasi semua pihak. Lagi-lagi apabila melibatkan GLC Kerajaan, sepatutnya KTMB lebih berusaha untuk cakna melakukan kempen-kempen yang selari dengan hasrat Kerajaan Madani dan bukannya aktiviti sebegini yang merosakkan pembentukan generasi.
"Oleh yang demikian saya mencadangkan agar kerajaan lebih bertegas akan hal-hal seperti ini dan juga pihak pengurusan KTMB perlu tampil untuk memberikan penjelasan dan bertanggungjawab sepenuhnya," tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam pada itu, Ahmad Saifuddin Amran pula tampil mempersoalkan bagaimana acara sedemikian boleh dibenarkan untuk dianjurkan di dalam tren berkenaan.
Ini kerana menurutnya, ia dilihat bertentangan dengan peraturan kebiasaan ditetapkan oleh pengendali pengangkutan terbabit.
"Bukankah di dalam gerabak kereta api tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman, dan berkelakuan sumbang?
"Bila ada pihak sewa keseluruhan gerabak, maka semua larangan ini dibenarkan? Bermakna demi duit, KTM boleh sesuka hati menukar peraturannya sendiri?" soalnya.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan bahawa penganjuran acara hiburan itu telah mencemarkan nama baik KTMB yang merupakan aset bersejarah negara.
Katanya, pesta itu juga dilihat bertentangan dengan budaya ketimuran yang mengutamakan nilai tatasusila, kesopanan dan hiburan sederhana.
Setakat laporan ini ditulis, pihak KTMB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung acara tular terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram