MASYARAKAT baru-baru ini tersentuh dengan satu hantaran tular di media sosial memaparkan seorang bapa sedang membawa anak kecilnya menaiki motosikal sambil memakai alat bantuan pernafasan.
Kesusahan itu difahamkan berpunca akibat kesesakan wang dihadapi sehingga terpaksa membawa anaknya menunggang motosikal untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Meraih perkongsian ramai di laman media, beberapa pihak tampil ikhlas menyatakan hasrat ingin menghadiahkan sebuah kereta buat keluarga berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis siasat kes remaja dakwa dipukul anak 'Datuk' di George Town
Dalam pada itu, bapa yang ingin dikenali sebagai Azlan Ishak, 35, itu menjelaskan dia masih belum memiliki lesen memandu kerana kurang berkemampuan untuk mengikuti kelas berbayar tersebut.
Namun, dia walau bagaimanapun sangat bersyukur sekiranya ada pihak ikhlas ingin membantu seperti yang tular baru-baru ini.
"Saya belum ada lesen kerana tak mampu nak buat, tetapi sangat-sangat bersyukur kalau betul ada yang kata nak hadiahkan kereta.
"Sekurang-kurangnya saya boleh gunakan pada waktu kecemasan untuk hantar anak saya ke hospital itu lebih cukup daripada segalanya.
"Setakat ini memang saya tumpukan segala kewangan pada rawatan penyakit anak saya, biarlah saya susah, tiada lesen sekali pun tetapi yang penting saya tahu memandu dan boleh bantu rawatan anak," katanya kepada Majoriti.
Menurut Azlan yang merupakan bapa kepada lima cahaya mata, anaknya yang bernama Aariz Zafran, 11 bulan, mengalami masalah paru-paru kronik hinggakan terpaksa memakai alat bantuan pernafasan hampir setiap masa.
Namun, sejak beberapa hari lalu kisahnya mula mendapat perhatian di Facebook sehingga ada pihak tampil menyalurkan bantuan menerusi akaun bank isterinya.
"Saya rasa macam mimpi, tengok akaun bank bertambah sejak dua hari lepas, tak pasti berapa jumlah tapi saya perasan ada bertambah dalam RM100, RM200 macam itu.
"Sangat-sangat bersyukur sampai menitis air mata kami dua suami isteri, tak sangka boleh ramai yang tahu pasal kami, Alhamdulillah.
"Saya gaji sehari RM50 itu pun ikut nasib kadang ada kadang tak ada, ikutkan memang tak mampu dari segi keperluan tapi ada hamba ALLAH yang bantu saya memang tersentuh," ujarnya.
Dalam pada itu, Azlan menjelaskan masih belum ada mana-mana individu yang tampil menghadiahkan kereta seperti dalam hantaran tular baru-baru ini.
Namun, dia dalam pada masa sama mengucapkan terima kasih atas segala bantuan serta doa orang ramai di media sosial mahupun rakan kenalannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram