BIADAB dan kejam. Demikian situasi boleh digambarkan apabila sekumpulan pemuda Israel menghalang trak bantuan dari Jordan ke Gaza pada Isnin.
Trak yang membawa misi bantuan kemanusiaan Palestin itu terkandas di beberapa laluan utama Baitulmaqdis, persimpangan Latrun dan di kawasan Tebing Barat Gaza.
Ia susulan gerakan rusuhan dilancarkan aktivis Zionis yang memaksa kenderaan tersebut berhenti untuk diperiksa dokumen selain ruangan simpanan kargo turut digeledah atas tujuan provokasi.
BACA LAGI: 'Perisik' Israel tinggal di hotel 5 bintang, sempat beli-belah di butik mewah
BACA LAGI: Tapak nuklear Zionis jadi sasaran Iran jika diserang balas
Meskipun dikawal rapi anggota polis, namun tindakan individu terbabit pada mulanya tidak dihalang dan sebahagian besar anggota di situ hanya membiarkan situasi tersebut.
Bertindak balas atas kekecohan itu, polis kemudiannya menggesa kesemua yang terlibat agar segera berpindah dan membiarkan trafik lalu lintas bergerak semula.
Dua remaja dilaporkan ditahan di balai polis Baitulmaqdis manakala tiga lagi terlibat telah dijatuhkan hukuman denda lalu lintas.
Walau bagaimanapun, polis mengesahkan trak bantuan kemanusiaan Gaza itu telah meneruskan perjalanan dan tiada laporan serangan mahupun rusuhan diterima pihaknya susulan kejadian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram