STATUS kewangan memainkan peranan begitu penting dalam mengekalkan kelancaran pengoperasian sesebuah kelab bola sepak.
Tidak hanya pemilihan pemain, aspek tersebut juga menyumbang kepada perjuangan pasukan untuk menghadapi persaingan dalam tempoh satu musim saingan Liga Super.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masalah kewangan antara isu hangat yang sentiasa menjadi pokok perbincangan di meja bulat dalam kalangan rakyat Malaysia, baik penyokong tegar mahupun yang hanya sekadar mengambil tahu perkembangan arena bola sepak negara.
BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan
BACA LAGI: Tarik diri pun tak selesaikan masalah kewangan KDA FC
Mohd Daud Bakar
Selain Kelantan FC yang dibelenggu dengan isu tunggakan gaji pemainnya, masalah kewangan menimpa Kedah Darul Aman (KDA) FC juga antara yang menjadi bualan pada ketika ini.
Baru-baru ini, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pendedahan Tan Sri Mohd Daud Bakar mengenai prestasi dan status kewangan terkini KDA FC.
Pemilik kelab Sang Kenari itu menjelaskan, dengan kewangan yang ada ketika ini, pasukan kendalian Nafuzi Zain itu dijangka bertahan kurang daripada dua bulan.
Ia susulan selepas penaja utama kelab tersebut menarik diri daripada menaja pasukan berkenaan.
Bukan hanya itu, kurangnya sokongan daripada beberapa pelbagai pihak antara faktor yang menjejaskan kewangan kelab.
"Jika tiada penaja utama dalam masa terdekat, ia akan menjadi sukar buat KDA FC untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super," katanya.
Sehubungan itu, di sini Majoriti senaraikan tiga jutawan kelahiran Negeri Jelapang Padi yang dilihat berkemampuan untuk menyelamatkan KDA FC.
1. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Syed Mokhtar
Nama Syed Mokhtar, 73, sememangnya begitu dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.
Tersenarai dalam Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2024, sebahagian besar sumber kekayaannya adalah daripada pegangannya dalam DRB-Hicom Berhad dan MMC Corporation Berhad.
Menduduki tangga ke-15, Syed Mokhtar dilaporkan memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak AS$1.3 bilion (RM6.23 bilion).
Untuk rekod, operasi MMC merangkumi pelabuhan, logistik, pembinaan dan kejuruteraan manakala DRB-HICOM ialah firma automotif dengan kepentingan dalam hartanah dan pendidikan.
Pasti ramai sedia maklum, jutawan Melayu itu juga mempunyai yayasan serta universiti miliknya sendiri.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut terkenal dengan sumbangan dan bantuannya ke atas pelbagai lapisan masyarakat merangkumi aspek pendidikan, hartanah, pengangkutan dan sebagainya.
Justeru keterlibatannya dalam menyelamatkan Kedah FC bukan sahaja akan memberikan sokongan kewangan yang diperlukan tetapi juga membawa kredibiliti dan kepercayaan kepada kelab.
Dengan kekayaan yang besar dan kepakaran dalam pengurusan perniagaan, beliau berada dalam posisi yang baik untuk memberikan bantuan kewangan yang signifikan kepada Kedah FC.
2. Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
Selain terlibat dalam karier politik, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga merupakan usahawan yang berjaya.
Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga pernah menjawat jawatan Menteri Besar Kedah dan mempunyai pengaruh besar di negeri tersebut.
Sebagai Menteri Besar Kedah ke-11 pada 2013 hingga 2016, beliau merupakan antara susuk yang aktif dalam usaha mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak negeri berkenaan.
Menyentuh tentang pengalamannya dalam bidang pengurusan, pengalaman Mukhriz dalam bidang politik memberikannya kelebihan dalam menguruskan dan menyelesaikan isu-isu berkaitan kelab bola sepak seperti Kedah FC.
Jaringan luas yang dimilikinya dalam dan luar negara diharapkan dapat digunakan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan dan pelaburan bagi KDA FC.
3. Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah
Muhammad Ikmal Opat
Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah dikenali sebagai seorang usahawan yang berjaya dalam bidang pembangunan hartanah dan pembinaan.
Anak kelahiran Kampung Thai Pegang, Baling, Kedah itu dilihat berupaya membantu dalam membangunkan infrastruktur kelab bola sepak, termasuk stadium dan kemudahan latihan yang lebih baik buat pemain.
Kekayaan dan pengalaman dalam industri pembinaan Muhammad Ikmal Opat mampu memberikan suntikan kewangan yang diperlukan untuk memastikan Sang Kenari terus berkembang dan melancarkan pengoperasian kelabnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram