[VIDEO] Ibu tidak melawan sanggup hilang rantai diragut depan rumah, asalkan bayi terselamat di Sidoarjo, Indonesia


  • Benua
  • Isnin, 20 Mei 2024

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki dipercayai meragut rantai seorang wanita di kediamannya di daerah Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia. — Agensi

SEORANG wanita berdepan detik cemas selepas rantai emasnya dipercayai diragut dua lelaki bersenjatakan objek tajam pada Sabtu.

Kejadian kira-kira pukul 5.28 petang itu berlaku di kediamannya di Jalan Kenongo, Kecamatan Porong, daerah Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.

Insiden mendebarkan itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) rumah mangsa dan dimuat naik di laman X (Twitter) @bacottetangga_ pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Jakarta dikecam, TikToker Indonesia mula misi balas dendam 'serang' KL

BACA LAGI: 'Raffi kata nak masuk parti politik,' PM Anwar usik pempengaruh terkenal Indonesia

Menerusi rakaman berdurasi 23 saat tersebut, pada awalnya wanita berkenaan dilihat sedang menyapu sampah di halaman rumahnya sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang tiba-tiba berhenti di hadapan kediaman tersebut.

Beberapa saat kemudian, seorang lelaki yang mengenakan jaket biru bertindak menghampiri mangsa lalu mengacukan senjata tajam dan memaksa mangsa duduk.

Lelaki berkenaan segera memaut lehernya dan menarik rantai yang dipakai mangsa.

Mangsa hanya mampu menjerit, namun tiada sesiapa di dalam rumah atau jirannya yang keluar untuk membantu.

Sebaik berhasil menarik rantai tersebut, lelaki itu segera melarikan diri bersama rakannya yang sedang menunggu di atas motosikal sebelum kedua-duanya melarikan diri dari lokasi kejadian.

Lebih mendebarkan, kelihatan seorang bayi yang diletakkan di atas sebuah bangku di luar rumah tersebut, namun nasibnya baik apabila tidak diapa-apakan mereka.

Wanita tersebut segera berlari membawa bayinya masuk ke dalam rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa negara berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram