PENGAKUAN pemilik Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengenai situasi kewangan kelab memang mengejutkan penyokong Sang Kenari.
Hal ini kerana, Daud mengatakan kelab cuma mampu bertahan selama sebulan, dua dari saja lagi kerana ketiadaan penaja utama.
Keadaan ini nyata merisaukan kerana ia akan menghasilkan pelbagai kemungkinan termasuklah Kedah akan menarik diri daripada Liga Super ketika musim tengah berjalan.
BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan
BACA LAGI: Baru panas enjin, nanti Syafiq Ahmad tak pasal-pasal kena balik JDT
Pertembungan Kedah dan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Sebagai rekod, situasi tersebut pernah berlaku pada musim lalu apabila kelab Perak, BRM FC menarik diri daripada Liga M3 (kini Liga A1 Semi-Pro) pada pertengahan musim akibat masalah kewangan.
Bagi pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, dia berpendapat sekiranya Kedah ingin menarik diri daripada saingan liga, ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
Menurutnya, Kedah mungkin tiada dalam carta liga, tetapi masalah melibatkan gaji pemain masih perlu diselesaikan pihak kelab.
"Saya yakin di sebalik masalah ini pasukan Kedah akan tetap bertahan hingga ke akhir musim dan tidak mungkin menarik diri di pertengahan liga.
"Jika Kedah menarik diri pun ia tidak akan menyelesaikan masalah kerana gaji pemain termasuk gaji pemain import perlu dilunaskan juga," kata Pekan kepada Majoriti.
Syafiq Ahmad (tengah) antara pemain pinjaman Kedah berisiko kehilangan kelab andai Kedah menarik diri daripada saingan liga.
Meskipun demikian, Pekan memuji tindakan Daud yang berterus terang mengenai situasi kewangan kelab.
Walaupun berasa bimbang melihat keadaan tersebut, tetapi Pekan yakin Daud tidak akan lari daripada tanggungjawabnya.
Pekan berharap bantuan akan dihulurkan kepada Daud untuk membantu Kedah. Bantuan itu seharusnya datang daripada pelbagai pihak termasuklah penyokong.
"Namun saya tabik hormat pada kejujuran tentang kenyataan daripada pemilik Kedah ini. Kenyataan berterus-terang lebih awal ini lebih baik daripada nanti ada pasukan-pasukan lain yang dalam diam-diam rupanya turut mempunyai masalah yang sama atau lebih teruk lagi.
"Kenyataan oleh pemilik Kedah bahawa pasukannya cuma dapat bertahan dalam sebulan dua saja dari segi kewangan ini sesuatu yang membimbangkan. Saya percaya pemilik Kedah ini tidak lari dari tanggungjawabnya seperti yang dibuktikan beberapa musim lalu. Dia seorang ahli perniagaan tulen.
"Namun di sebalik beban yang perlu digalas itu sebenarnya ia harus membuka mata kepada semua pihak termasuk penyokong dan ahli-ahli perniagaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di Kedah untuk turut membantunya.
"Peranan penyokong untuk beramai-ramai datang memenuhi stadium setiap kali Kedah bermain akan dapat memanjangkan jangka hayat kemampuan pasukan Kedah," ujar Pekan lagi.
Pekan juga berharap agar tiada pihak yang membiarkan Daud sendirian dalam usaha menyelamatkan Kedah. Sebaliknya, usaha secara kolektif perlu dibuat untuk memastikan Sang Kenari terus 'bernyawa'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram