MRECA minta kerajaan cari titik tengah bendung penggunaan vape elak industri terjejas


  • Massa
  • Isnin, 20 Mei 2024

Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) oleh KKM pada bulan Jun depan dijangka akan membawa beberapa cabaran kepada pemilik perniagaan, terutama yang terlibat dalam penjualan produk merokok dan rokok elektronik. — Gambar Hiasan

PENGUATKUASAAN Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bulan Jun depan dijangka akan membawa beberapa cabaran kepada pemilik perniagaan, terutama yang terlibat dalam penjualan produk merokok dan rokok elektronik.

Walaupun langkah drastik itu bertujuan untuk melindungi kesihatan awam, namun pada masa sama ia akan memberi impak negatif kepada perniagaan rokok elektronik atau vape.

Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, sekiranya akta itu dilaksanakan dalam bulan depan, ia akan menyebabkan membawa cabaran besar kepada pemain-pemain industri vape.

BACA LAGI: KKM perlu utamakan maklum balas dalam perangkaan draf peraturan vape — CCC

BACA LAGI: Industri vape bakal terkubur angkara peraturan ketat KKM?

"Kerajaan tidak sewajarnya mengambil tindakan drastik kerana ia akan memberi impak negatif kepada pemilik perniagaan rokok elektronik dari segi peningkatan dalam kos operasi, kerumitan kepada operasi perniagaan dan kesan kepada perniagaan.

"Jika semua ini dilaksanakan pada Jun ini, adalah sukar untuk pemain industri membuat penyesuaian mengikut peraturan yang dikenakan sekali gus memberi impak kepada perniagaan," katanya ketika dihubungi Majoriti.

WhatsApp Image 2024-05-19 at 18.32.53

Datuk Adzwan Ab Manas

Tambah beliau lagi, pihaknya juga masih tiada makluman daripada KKM berkenaan ketetapan peraturan yang akan diperkenalkan ke atas industri walaupun akta tersebut telah menjadi perbualan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

"Walaupun terdapat dua mesyuarat bersama KKM, pencerahan dan butiran yang diberikan tidak jelas.

"Oleh itu, sehingga kini, cadangan seperti larangan mempamerkan produk di tempat jualan, pembungkusan standard, larangan perisa, larangan jualan 'open system', larangan reka bentuk yang diumumkan oleh kementerian sebelum ini masih lagi tidak jelas kepada pihak industri," ujarnya.

Adzwan juga berharap agar kerajaan mempertimbangkan situasi pemain-pemain industri vape serta mengambil kira pandangan industri.

Katanya, ia adalah penting bagi mereka untuk mencari langkah titik tengah supaya peraturan yang bakal diperkenalkan dapat mencapai objektif kementerian untuk membendung penggunaan produk oleh individu bawah umur 18 tahun serta tidak memberikan kesan yang drastik kepada pihak industri.

"Industri mengambil maklum bahawa peraturan yang dibuat adalah untuk membendung penggunaan produk oleh individu bawah umur 18 tahun dan industri jelas bahawa produk tersebut tidak boleh terjual dan digunakan oleh sesiapa individu yang di bawah umur 18 tahun," jelas beliau.

Pic for story on vape. AZMAN GHANI/ The Star

Vape ialah kaedah kedua tertinggi yang digunakan untuk berhenti merokok (14 peratus) lebih tinggi daripada kaedah lain. — Gambar hiasan

Pada masa sama, Datuk Adzwan turut mengambil kesempatan mengulas berkenaan Laporan Global Adult Tobacco Survey 2023 yang diterbitkan oleh KKM baru-baru ini..

Katanya, dalam laporan tersebut, pada tahun lalu, peratusan pengguna vape di Malaysia menunjukkan peningkatan yang ketara, meningkat kepada 5.8 peratus berbanding 0.8 peratus pada tahun 2011.

"Pada tahun lalu juga, kadar perokok di Malaysia menunjukkan penurunan yang ketara, menurun kepada 19 peratus berbanding 23.1 peratus pada tahun 2011.

"Statistik ini mencerminkan perubahan dinamik dalam corak penggunaan produk tembakau dan nikotin dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Vape ialah method atau kaedah kedua tertinggi yang digunakan untuk berhenti merokok (14 peratus) lebih tinggi daripada kaedah lain dan laporan ini sekali gus menunjukkan vape berjaya membantu mengurangkan kadar perokok di Malaysia," katanya.

Menurut beliau lagi, peningkatan dalam penggunaan vape yang selari dengan penurunan dalam kadar perokok, menunjukkan keberkesanan vape dalam membantu perokok berhenti merokok

Pic for story on vape. AZMAN GHANI / The Star

Berdasarkan dapatan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan golongan muda membimbangkan dan memerlukan tindakan pantas serta tuntas. — Gambar Hiasan

"Seperti sedia maklum, vape adalah produk alternatif kepada rokok tembakau yang telah diiktiraf oleh pelbagai institusi kesihatan awam antarabangsa sebagai produk kurang mudarat berbanding rokok.

"Malah tahun lepas, negara United Kingdom juga memulakan inisiatif untuk memberikan 1 juta vape secara percuma kepada perokok di negara UK sebagai usaha untuk menyaran perokok beralih kepada produk vape yang kurang mudarat.

"Kini dengan laporan daripada KKM bahawa kadar perokok pada tahun 2023 telah menurun manakala penggunaan vape meningkat, ini menunjukkan vape juga terbukti membantu perokok Malaysia berhenti merokok," tegas beliau.

Pad Khamis lalu, KKM memaklumkan akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sepenuhnya pada Jun depan sebagai langkah menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik membabitkan golongan muda.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan dapatan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan golongan muda membimbangkan dan memerlukan tindakan pantas serta tuntas.

"Penguatkuasaan Akta 852 ini berserta peraturan dan perintahnya, Insya-ALLAH akan kita laksanakan bermula Jun 2024 sebagai respons kepada peningkatan vape, sebab dalam akta kawalan produk merokok ia juga akta kawalan vape.

"Kita harapkan dengan perintah dan peraturan kita akan dapat tangani peningkatan rokok elektronik atau vape dalam kalangan orang muda ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram