Industri vape bakal terkubur angkara peraturan ketat KKM?


  • Massa
  • Selasa, 19 Mac 2024

Larangan penjualan produk itu akan mengakibatkan ramai peniaga Melayu gulung tikar dan kehilangan pekerjaan. — Gambar hiasan

LANGKAH Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan larangan dan kawalan perisa, penetapan reka bentuk dan pembungkusan standard dianggap terlampau drastik serta berisiko mematikan industri tempatan.

Selain itu, KKM juga akan melarang pameran produk vape di premis dan penjualan botol cecair vape (produk sistem terbuka) yang dikilangkan oleh usahawan tempatan.

Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Mohamad Neezam Talib berkata, cadangan drastik itu akan menjejaskan ramai usahawan tempatan dan pekerja industri.

"Kami tidak bersetuju dengan cadangan ini. Selama ini, kami tidak pernah diajak berbincang mengenai apa-apa larangan dan kawalan perisa, penetapan reka bentuk dan pembungkusan standard untuk produk vape, larangan mempamerkan produk di kedai atau larangan menjual botol cecair vape.

“Malah, ia hanya dimaklumkan kepada beberapa pihak terpilih baru-baru ini.

"Apabila mendapat makluman ini menerusi laporan dan pihak berkenaan, kami agak terkejut kerana perbincangan tidak dibuat dengan telus dengan semua yang terlibat dalam industri," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara pertahan hak pendidik dan pelajar, guru kena 'headshot' lepas pulang mengajar

A man uses a vape device in this illustration picture. - Reuters

Hampir semua produk cecair vape dalam botol yang terjual di Malaysia dikilangkan oleh usahawan tempatan.

BACA LAGI: KK Mart mohon maaf isu stoking, Bell Ngasri pesan jangan buat main kalimah ALLAH

Ujar Mohamad Neezam, KKM seharusnya mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak yang terlibat dalam industri.

Jelasnya, kementerian juga perlu memberikan butiran secara terperinci untuk dibincangkan bersama supaya semua pihak dapat memberikan pandangan berhubung cadangan tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Cecair Vape Malaysia (MEBA), Zack Ariffin memberitahu, hampir semua produk cecair vape dalam botol yang digunakan untuk sistem terbuka dan terjual di Malaysia dikilangkan di negara oleh usahawan tempatan.

Menurutnya, larangan penjualan produk itu akan mengakibatkan ramai peniaga Melayu gulung tikar dan kehilangan pekerjaan.

"Dasar ini seolah-olah memihak dan memberikan kelebihan kepada syarikat asing dan produk import kerana produk pakai buang vape dan sistem tertutup vape diimport dari China.

"Kita akan melihat syarikat asing akhirnya menguasai industri vape di sini dan industri tempatan vape dipinggirkan.

"Kerajaan sepatutnya membuat polisi dengan memberikan pertimbangan wajar kepada industri tempatan dan bukannya mematikan industri," jelas beliau.

Presiden Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM), Sabri Ismail pula berkata, produk vape bukannya rokok tembakau atau pemanas tembakau, jadi peraturan yang dikenakan tidak perlu sampai begitu drastik.

"Ini kerana ia akan memberikan kelebihan kepada produk hasil tembakau dan pengguna akan mempunyai tanggapan yang salah ke atas produk vape," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram