Spekulasi liar insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram dengan JI takutkan pelabur, pelancong — Ahmad Maslan


  • Primer
  • Ahad, 19 Mei 2024

Dua anggota polis maut selepas diserang individu yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi Jumaat.

AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta semua pihak perlu berhenti menyebar spekulasi liar mengaitkan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor dengan kumpulan ekstremis termasuk Jemaah Islamiyah (JI).

Katanya, Johor merupakan antara destinasi pelaburan tertinggi negara serta pintu masuk penting bagi pelancong dan spekulasi seperti itu akan menakutkan pelabur dan pelancong yang ada di negeri ini.

“Ia satu kejadian yang mengejutkan, tetapi pada masa yang sama, kita tidak perlu membuat kesimpulan sendiri. Jangan cipta sebarang spekulasi yang boleh menakutkan pelaburan masa depan dan pelancong daripada datang ke negara kita.

BACA LAGI: Anggota JI dalang serangan Balai Polis Ulu Tiram — Ketua Polis Negara

BACA LAGI: Serangan Ulu Tiram cetus memori 3 sejarah hitam keselamatan libatkan anggota beruniform

Datuk Seri Ahmad Maslan meminta semua pihak perlu berhenti menyebar spekulasi liar mengaitkan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor dengan kumpulan ekstremis termasuk JI.

“Kalau polis kata ia tiada kaitan dengan Jemaah Islamiah (JI), maka ini yang kita perlu percaya.

“Saya juga percaya kebijaksanaan agensi penguat kuasa kita menjalankan siasatan berhubung perkara itu, jadi kita serahkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pendigitalan Kompetensi Kemahiran Pembinaan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan di Johor pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga ahli majlis tertinggi Umno berkata, semua ahli parti dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membuat kenyataan berhubung perkara itu.

“Spekulasi hanya akan memburukkan keadaan, jadi saya menggesa semua ahli Umno mengelak daripada terlibat dalam perkara ini; kita mahu orang ramai terutama pelabur dan pelancong datang ke negeri kita,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Majoriti melaporkan dua anggota polis terbunuh dan seorang cedera selepas seorang lelaki menyerang balai polis di Ulu Tiram. — The Star/ REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram