SEORANG pemandu berdepan detik cemas apabila terlanggar seekor harimau belang yang melintas secara mengejut di KM50.8 arah Kuala Lumpur Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lentang, Bentong, Pahang pada Khamis.
Melalui data yang tertera di kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan pemandu lelaki berkenaan, kejadian itu berlaku pada pukul 1.28 pagi Khamis.
Keadaan jalan pada waktu itu juga gelap dan tiada kenderaan lain melalui lebuh raya tersebut.
BACA LAGI: Populasi babi hutan makin berkurang punca pak belang mengganas
BACA LAGI: [VIDEO] Pengguna jalan raya meremang jumpa 'pak belang' berkeliaran atas jalan raya
— G. Kumar (@KumarBlues4505) May 16, 2024
Difahamkan, pemandu berkenaan tidak dapat mengelak Pak Belang yang secara tiba-tiba melintas.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozidan Md Yasin dilaporkan mengesahkan kejadian terbabit.
"Difahamkan harimau belang jantan dengan berat dianggarkan 130 kilogram (kg) dilanggar kereta jenis Proton Persona kira-kira pukul 1.28 pagi ketika cuba melintas lebuh raya terbabit.
"Harimau berkenaan dianggarkan berumur empat tahun berdasarkan saiz tubuh dan tapak kaki haiwan berkenaan. Haiwan terbabit dipercayai menjadikan Hutan Simpan Bukit Tinggi sebagai habitat semula jadi.
“Selepas menerima aduan penemuan bangkai harimau belang itu, pegawai PERHILITAN segera ke lokasi untuk memastikan kebenaran aduan berkenaan seterusnya melakukan siasatan punca kemalangan itu," katanya.
Harimau belang jantan dengan berat dianggarkan 130 kg dilanggar kereta jenis Proton Persona kira-kira pukul 1.28 pagi tadi ketika cuba melintas lebuh raya terbabit.
Tambah beliau lagi, bangkai harimau belang itu dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut. Siasatan punca kematian dan kecederaan yang dialami turut akan dilakukan
Katanya, masih terdapat harimau belang mendiami Hutan Simpan Bukit Tinggi berhampiran lokasi kejadian. Kemalangan itu amat mendukakan berikutan bilangan harimau belang di negara ini yang semakin berkurangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram