[VIDEO] Lelaki hilang 26 tahun rupanya diculik jiran, dakwa kena sihir sampai tak boleh bercakap


  • Benua
  • Khamis, 16 Mei 2024

Dalam kejadian yang berlaku di Djelfa, mangsa dikenali sebagai Omar ditemui di ruang bawah tanah rumah jirannya.

MISTERI kehilangan seorang lelaki hampir 30 tahun lalu terungkai selepas dia ditemui hidup di sebuah bilik bawah tanah milik jiran, kira-kira 100 meter dari kediaman keluarganya.

Dalam kejadian yang berlaku di Djelfa, Algeria, mangsa dikenali sebagai Omar bin Omran (Imran) ditemukan pada Isnin lalu di bawah sebuah bilik bawah tanah yang pintunya disorokkan dengan timbunan jerami.

Memetik laporan media antarabangsa, Omar yang dilaporkan hilang 26 tahun lalu, semasa berusia 19 tahun dan pada waktu itu dia sedang dalam perjalanan menuju ke sekolah.

BACA LAGI: [VIDEO] Pandu melulu punca remaja tunjuk samseng cedera ditumbuk dua beradik di Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Rakan konvoi rakam detik penunggang 'superbike' terpelanting rempuh belakang kereta di lebuh raya

Suspek berusia 61 tahun, seorang lelaki yang juga jiran mangsa telah ditahan susulan penemuan Omar yang kini umurnya sudah mencecah 45 tahun.

Selama berpuluh tahun, suspek yang tidak didedahkan namanya telah menyembunyikan Omar di dalam bilik bawah tanah di sebalik timbunan jerami yang menutup laluan masuk ke situ.

Tindakannya itu akhirnya terbongkar selepas didedahkan oleh abang suspek sendiri kepada pihak polis selepas mereka bertengkar gara-gara berebut harta pusaka.

Susulan daripada itu, pihak berkuasa tempatan telah menyerbu rumah suspek dan menemui mangsa dalam keadaan keliru dan tidak terurus.

Omar yang kini selamat di bawah jagaan keluarganya memberitahu sepanjang dia diculik, dia beberapa kali melihat mereka melalui kawasan rumah itu namun tidak boleh bercakap atau memanggil mereka.

Menurut Omar, dia rasa seperti dirinya disihir kerana mulutnya seperti 'terkunci' untuk bercakap.

Kisah Omar itu turut menjadi bualan media di seluruh dunia selepas beberapa rakaman video dan gambar Omar tular di media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram