Balai polis diserang: Tiada CCTV, dua pelajar IPT, bapa suspek JI antara 7 ditahan


  • 112
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Wajah suspek yang ditembak mati (gambar kecil) yang juga dipercayai anggota kumpulan JI kini sudah mula bertebaran di media sosial.

TUJUH individu termasuk dua pelajar dan seorang lelaki berusia 62 tahun dipercayai anggota Jemaah Islamiyah (JI) ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejadian bermula apabila dua pelajar berkenaan masing-masing seorang lelaki berusia 22 tahun dan wanita (21) hadir ke balai kira-kira pukul 2.30 pagi untuk membuat laporan polis.

"Kedua-duanya datang untuk mendapatkan nasihat daripada polis berhubung kes serangan seksual yang berlaku dua tahun lalu," kata Razarudin kepada media selepas melawat balai polis Ulu Tiram pada Jumaat.

BACA LAGI: Dua anggota maut ditembak dan ditetak, suspek bertopeng serang Balai Polis Ulu Tiram

BACA LAGI: Polis belum terima laporan penunggang motor cedera di dagu terkena 'jerat' tali di SUKE, desak mangsa tampil

Razarudin memaklumkan, ketika dua pelajar berkenaan sedang membuat laporan polis, ketika itulah suspek masuk ke balai polis menaiki motosikal terus ke bahagian belakang balai.

Jelasnya, seorang anggota kemudiannya pergi ke bahagian belakang untuk memeriksa sebelum ditetak mati suspek.

"Suspek kemudian ambil senjata api anggota berkenaan. Dua anggota cegah jenayah dimaklumkan mengenai serangan itu sebelum mereka tiba di lokasi dan berlaku tembak-menembak," katanya.

Dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.

Razarudin berkata, dua pelajar itu ditahan bagi siasatan lanjut mengenai penglibatan mereka dengan serangan itu.

“Adalah tidak logik untuk melaporkan kes cabul dua tahun lalu pada pukul 2.30 pagi.

“Ketika laporan sedang dibuat pula, tiba-tiba balai diserang. Jadi kita akan siasat dengan rapi dua pelajar berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ujar Razarudin, polis melakukan serbuan ke atas rumah suspek kira-kira pukul 6 pagi yang terletak di Ulu Tiram sebaik sahaja kejadian berlaku.

Jelas beliau, lima ahli keluarga yang berusia 19 dan 62 tahun diberkas bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

“Polis turut menggeledah rumah suspek dan polis menjumpai pelbagai risalah berkaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiah,” ujarnya lagi.

Razarudin

Dalam perkembangan sama, polis menolak tanggapan akan berlaku serangan di beberapa lokasi lain di seluruh negara susulan kejadian itu.

Beliau berkata, serangan anggota JI di balai polis itu masih disiasat rapi, terutama motif serangan.

Bagaimanapun, Razarudin berkata, semua anggota termasuk di balai polis sudah diarahkan berhati-hati dan meningkatkan kawalan dan pemantauan.

"Kita sedang siasat dengan rapi serangan (di Balai Polis Ulu Tiram) termasuk motifnya.

"Not nice (tidak baik) untuk buat anggapan sebegitu (akan berlaku serangan lain), sedangkan siasatan sedang dilakukan," katanya.

Razarudin berkata, pencahayaan di belakang Balai Polis Ulu Tiram agak gelap ketika insiden serangan berlaku, malah tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi serangan. The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram