Tindak balas telefon bimbit, wap petrol punca kereta meletup di stesen minyak Perlis


  • 112
  • Sabtu, 18 Mei 2024

Pihak bomba memadam api yang membakar kenderaan meletup di sebuah stesen minyak di Perlis. — Facebook

SEORANG lelaki berusia sekitar 40-an hampir menemui ajal apabila keretanya meletup di sebuah stesen minyak dekat Kangar, Perlis pada Jumaat.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang itu terjadi sewaktu lelaki tersebut sedang mengisi minyak. Ia mengakibatkan kenderaan jenis Proton Wira Aeroback meletup serta terbakar sementara mangsa mengalami kecederaan kerana terkena kaca daripada keretanya itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, kejadian berlaku berpunca daripada tindak balas antara telefon bimbit mangsa yang terletak pada tempat duduk penumpang sebelah pemandu dengan wap petrol.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk Kampung Padang China tanggung bau busuk najis hari-hari angkara pemilik biar lembu berkeliaran sesuka hati

BACA LAGI: [VIDEO] 'Terima kasih orang baik', pemandu sanggup redah bahaya demi bantu pasangan India bawa anak kecil

Kata Yusharifuddin, siasatan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis mendapati tindak balas itu mengakibatkan percikan api sekali gus menyebabkan kebakaran berlaku.

Dalam masa yang sama, dia mengesahkan kejadian tersebut cumalah kemalangan semata-mata dan tidak ada unsur jenayah.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba bahagian tangki meletup hingga mengakibatkan kenderaan terbabit terbakar," kata Yusharifuddin.

Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan pada 4.04 petang selesai memadam kebakaran sekitar 4.25 petang. Kebakaran tersebut mengakibatkan kenderaan mangsa hangus 50 peratus terutamanya di bahagian depan.

"Sebuah kereta musnah terbakar hampir 50 peratus dan pemiliknya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat terkena serpihan cermin yang pecah.

"Kejadian letupan tersebut turut menyebabkan berlaku kerosakan di bahagian bumbung stesen minyak berkenaan," ujar JPBM Perlis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram