EMPAT suspek yang ditahan bagi membantu siasatan projek pembinaan telaga jejari yang gagal berfungsi dengan berkesan untuk membekalkan air kepada penduduk di Kelantan, direman tiga hari bermula Khamis.
Perintah reman itu dikeluarkan Ketua Majistret Imran Hamid, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung pembinaan telaga tiub yang gagal berfungsi menyalurkan air tanah mentah ke loji rawatan air membabitkan projek bernilai lebih RM300 juta.
BACA LAGI: 'Boring', telaga tiub bukan jalan jangka masa panjang selesai masalah air — AWER
BACA LAGI: Penggalian air bawah tanah undang risiko, kerajaan Kelantan perlu beri penyelesaian — ABIM
Sumber berkata, kesemua suspek ditahan SPRM di beberapa lokasi berbeza di sekitar Kota Bharu antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi Rabu.
"Telaga ini sepatutnya berfungsi untuk membekalkan air yang mencukupi kepada penduduk, tetapi siasatan awal mendapati telaga ini tidak dapat menghasilkan jumlah air yang optimum," kata sumber itu.
Sumber itu berkata, ini berkemungkinan berpunca daripada rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek pembinaan telaga tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan, penahanan kesemua suspek dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Pada Khamis, kerajaan Kelantan berkata, akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung kes rasuah dan pembinaan telaga jejari yang tidak cekap yang gagal berfungsi membekalkan air kepada penduduk.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan tidak akan mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram