PERSATUAN Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) menyifatkan langkah kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan pengusaha van pelancong di Thailand membawa masuk kenderaan ke dalam negara merupakan satu tindakan bijak.
Yang Dipertua PEMBAWA, Laili Ismail berkata, hal ini kerana ia mampu mengekang sindiket penyeludupan migran asing bekerja di dalam negara.
"Ada segelintir van ini bertindak sebagai sindiket yang bukan membawa pelancong sebaliknya membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di Malaysia.
BACA LAGI: Media Singapura bongkar sisi gelap bas ekspres Malaysia, PEMBAWA gesa MOT campur tangan
BACA LAGI: Syarikat bas boleh lingkup, harga tiket melambung jika subsidi dikurangkan — PEMBAWA
Yang Dipertua PEMBAWA, Laili Ismail
"Untuk mengelakkan daripada dikesan, kebanyakan PATI ini berselindung di sebalik pelancong yang dibawa masuk.
"Mereka (PATI) ini akan dihantar terus ke restoran atau kedai tomyam yang memerlukan khidmat pekerja dari Siam (Thailand)," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Dakwanya lagi, walaupun ia tidak melibatkan semua van pelancong negara jiran, namun jumlah PATI yang dibawa masuk untuk bekerja di sekitar tanah air juga banyak.
"Bukan berpuluh tetapi beratus PATI yang dibawa masuk ke negara ini setiap hari sekali gus memberi kesan kepada warga tempatan yang mencari peluang pekerjaan," ujarnya.
Menjawab persoalan sama ada bas dari Thailand yang mahu memasuki negara ini melalui pakej yang disediakan akan menjejaskan pendapatan pengusaha bas persiaran tempatan, Laili berkata tindakan itu sama sekali tidak menjejaskan pendapatan mereka.
"Tidak memberi kesan, kerana rakyat Thailand kurang melancong ke Malaysia.
"Lagipun, bas dari Thailand yang mahu memasuki negara ini melalui pakej yang disediakan perlu membuat permohonan dengan Agensi Pengakutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu untuk mendapatkan permit," katanya.
Terdahulu, kerajaan menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan pengusaha van pelancong di Thailand membawa masuk kenderaan mereka bagi mengelakkan industri bas ekspres di negara ini terjejas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Isnin berkata, ada di antara pengusaha terbabit akan mengambil peluang membawa penumpang dalam negara selain membawa pelancong mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram