Peniaga jajan viral cetus persaingan tidak sihat, akhirnya pelajar jadi mangsa — PIBGN


  • Massa
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Seorang ibu meluahkan kebimbangan selepas mendapati anaknya membeli mi segera yang dijual di luar pekarangan sekolah baru-baru ini. — Facebook/ Ain Rosli

LARANGAN penjualan makanan tidak berkhasiat di luar pekarangan sekolah menjadi antara isu berpanjangan yang menjadi kebimbangan ibu bapa di negara ini.

Walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) sudah melarang bentuk penjualan tersebut, namun masih ada lagi peniaga yang menjualnya, baik di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Berdasarkan garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT), penjualan makanan dan minuman dalam lingkungan 40-meter dari pagar sekeliling sekolah adalah dilarang bagi semua premis makanan termasuk penjaja statik, penjaja beredar dan penjaja sementara.

BACA LAGI: Ingat anak minum air, ibu bapa kecewa ada peniaga mi segera cawan depan sekolah

BACA LAGI: 'Guru kena terima hakikat, ikut sahaja tarikh ditetapkan KPM'

Walau bagaimanapun, penjaja statik atau peniaga gerai sedia ada berlesen dalam lingkungan 40-meter dari pagar sekeliling sekolah dibenarkan menjual makanan dan minuman, tetapi perlu mematuhi senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual.

Terdahulu, Majoriti sebelum ini melaporkan kebimbangan seorang ibu selepas mendapati terdapat peniaga yang bertindak menjual mi segera di luar pekarangan sekolah.

Selain itu, terdapat juga luahan daripada segelintir ibu bapa yang tidak berpuas hati melihat wujud peniaga menjual makanan viral yang tidak berkhasiat di luar pagar sekolah dengan harga yang agak 'cekik darah'.

Datuk Ali

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan

Enggan isu tersebut menjadi lebih tidak terkawal, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyarankan agar KPM bekerjasama dengan PBT bagi membuat pemantauan terhadap penjualan makanan kategori 'makanan dilarang' atau makanan tidak berkhasiat yang dijual di luar pekarangan sekolah.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pihak sekolah dan PBT juga boleh menjalankan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak agar larangan penjualan itu dipatuhi.

"Pada masa sama penguatkuasaan yang tegas juga perlu dilakukan agar kanak-kanak mendapat makanan yang seimbang.

"Selain itu, pihak atau individu yang menjual makanan ringan atau makanan kurang berkhasiat di luar kawasan sekolah perlulah diambil tindakan tegas agar memberi pengajaran kepada peniaga yang lain.

"Dalam usaha untuk memastikan generasi muda yang lebih sihat, kerjasama antara ibu bapa, sekolah dan pihak berkuasa adalah sangat penting," katanya kepada Majoriti.

6A5RUNMBDVDABPQOFR3MHF6MLU

Sekiranya dibiarkan berterusan, murid atau pelajar akan membeli makanan yang tidak sihat ini dan akhirnya akan ada yang mengalami masalah kesihatan. — Gambar Hiasan

Tambah beliau lagi, sekiranya dibiarkan berterusan, tindakan penjaja kecil yang berniaga di luar sekolah akan menimbulkan persaingan bukan sahaja dalam kalangan mereka sendiri, tetapi juga termasuk kantin sekolah.

"Ia adalah satu persaingan yang tidak sihat dan murid atau pelajar itu sendiri menjadi mangsa. Hari-hari mereka akan membeli makanan yang tidak sihat ini dan akhirnya akan ada yang mengalami masalah kesihatan.

"Walaupun pihak sekolah membuat pelbagai usaha untuk memperbaiki kualiti makanan di sekolah, tetapi makanan yang di luar pula tidak berkualiti," katanya.

Menurut Datuk Dr Mohamad Ali kegiatan individu yang menjaja di kawasan sekolah itu juga akan menimbulkan masalah lain.

"Mereka (penjaja) ini akan menyebabkan kesesakan di kawasan sekolah dan lebih merisaukan lagi berlaku kemalangan dalam kalangan pelajar sekolah sekiranya tidak diatasi.

"Sehubungan itu, isu ini haruslah dipandang serius dan dibedung dengan segera," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram