KERAJAAN didakwa tidak serius dalam usaha membanteras lambakan penjaja tanpa lesen yang kebiasaannya dimonopoli oleh golongan warga asing terutamanya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berpandangan, ini kerana sehingga kini tiada tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkaitan untuk menangani isu tersebut.
"Jujur saya katakan, tindakan yang dibuat mereka selama ini seolah-olah seperti 'wayang' untuk mengaburi mata rakyat.
BACA LAGI: [VIDEO] DBKL tidak nampak? Warga asing bermaharajalela, selamba berniaga di Menara Merdeka 118
"Satu tindakan yang hangat-hangat tahi ayam sahaja kerana mereka tidak serius dalam melaksanakan operasi tersebut.
"Mereka ibarat pahat dengan penukul, jika kita suruh buat hari ini, mereka akan buat. Tetapi esok dia tak buat dah. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan kepada mereka," katanya kepada Majoriti.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Majoriti berhubung aktiviti perniagaan melibatkan penjaja tanpa lesen atau penjaja 'rambo' warga asing masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur meskipun tindakan tegas sudah dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mengulas lanjut, Rosli turut berpendapat, langkah kerajaan dalam mengatasi isu lambakan warga asing dianggap 'gagal'.
Beliau juga tidak menafikan rasuah melibatkan warga asing dan pihak berkuasa berisiko menjadi punca 'kegagalan' itu.
"Mungkin nampak kecil, tetapi ini adalah antara yang berlaku hingga menyebabkan kita tidak dapat membanteras warga negara asing sehingga hari ini.
"Ini kelemahan kerajaan dan juga pihak imigresen, mereka tidak menangani perkara ini secara serius," ujarnya.
Beliau juga meluahkan rasa kesal dengan sistem perundangan negara yang dianggap lemah dan hanya memberi kelebihan kepada warga asing.
"DI mana penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?," Itu antara persoalan ditimbulkan warga maya susulan penularan video warga asing dengan selamba berniaga menjual sayur-sayuran di pusat bandar Kuala Lumpur.
Kredit Video: Orang Awam pic.twitter.com/HDWgRiw7Gu
— Majoriti (@majoritionline) May 10, 2024
"Saya pernah berniaga di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu. Bayangkan, mereka (warga asing) yang berniaga ini ditangkap pada waktu pagi dan sebelah petang boleh berniaga semula.
"Sehingga hari ini. Apa yang saya lihat ekoran kegagalan ini menyebabkan banyak perkara berlaku di antara warga negara asing ini dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan," katanya.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, kelemahan dalam membanteras warga asing ini sekali gus memberi kesan kepada peniaga tempatan terutamanya penjaja kecil.
"Pada saya adalah tidak adil kepada pihak kerajaan hanya mengambil tindakan kepada warga tempatan.
"Contoh, isu tular yang sering melibatkan pihak penguat kuasa mengambil tindakan terhadap penduduk tempatan yang melakukan kesalahan seperti meniaga tanpa lesen atau lesen tamat tempoh serta kesalahan lain.
"Penguat kuasa terus kompaun dan sita perniagaan mereka tetapi sebaliknya berlaku pada penjaja warga asing.
"Alasan mereka (penguat kuasa), warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak termaktub dalam undang-undang sedia ada," luahnya.
Sehubungan itu, Rosli berharap kerajaan menggubal satu undang-undang baharu dan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang melanggar undang-undang.
"Ambil tindakan tegas seperti laksanakan hukuman sebat dan sebagainya. Selagi kita tidak serius dalam menangani isu ini, warga asing ini akan terus berleluasa," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram