SEORANG ibu meluahkan kebimbangannya selepas mendapati terdapat peniaga yang bertindak menjual makanan tidak berkhasiat di luar pekarangan sekolah.
Hal itu dikongsikan seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Ain Rosli pada Khamis lalu.
Difahamkan aktiviti penjualan tersebut berlaku di sebuah sekolah rendah dekat Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’
Menerusi hantaran tersebut, wanita itu menceritakan kejadian bagaimana dia mendapat maklumat mengenai penjual luar yang menawarkan makanan seperti itu kepada murid sekolah.
"Saya mengambil anak dari sekolah dan menyangka anak beli air cawan, setelah memandu tidak berapa jauh dari sekolah baru saya perasan anak menghirup mi segera menggunakan garfu yang saya sangkakan straw pada mulanya.
"Saya percaya ibu bapa di sini juga ada yang mengamalkan sistem mi segera cheat day (hari mengelat) di rumah, iaitu hanya waktu tertentu dan yang dibenarkan sahaja baru boleh dimakan.
"Jika di depan sekolah peniaga menjual secara terbuka, apalah gunanya pemantauan ibu bapa di rumah?
"Bagaimana pula jika anak membeli tanpa pengetahuan ibu bapa kerana teringin?" soalnya.
Ibu tersebut bagaimanapun menjelaskan, hantaran itu tidak bermaksud untuk menutup periuk nasi mana-mana pihak, khususnya peniaga kecil di hadapan sekolah.
Dia sebaliknya amat berharap agar para peniaga lebih menitikberatkan kategori makanan yang sesuai dan tidak sesuai untuk dijual kepada kanak-kanak.
Kebanyakan ibu bapa berharap agar peniaga lebih menitikberatkan kategori makanan yang sesuai dan tidak sesuai untuk dijual kepada kanak-kanak. — Gambar hiasan
"Ini sekadar perkongsian tentang kekecewaan seorang ibu terhadap pemakanan dari luar yang tidak dapat nak dielakkan.
"Saya sangat berharap peniaga dapat membantu dan memahami kami sebagai ibu bapa untuk tidak menjual mi segera depan sekolah.
"Jajan atau makanan ringan masih boleh dipertimbangkan bagi memeriahkan suasana dan memberi kenangan kepada murid sekolah tentang keseronokan membeli gula-gula bersama kawan-kawan.
"Bihun goreng, mi goreng dan lain-lain tidak membawa masalah, asal sahaja bukan mi segera," pintanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram