'Takkan harap DBKL saja?', rakyat mahu agensi lain turun padang banteras isu penjaja asing di jalanan


  • Massa
  • Ahad, 12 Mei 2024

DBKL melancarkan operasi membanteras penjaja tanpa lesen atau penjaja 'rambo' di sekitar Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur pada Sabtu. — Facebook/DBKL

WALAUPUN operasi tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membanteras penjaja tanpa lesen atau penjaja 'rambo' warga asing giat dilakukan namun masih ada yang berdegil menjalankan aktiviti penjajaan di siar kaki di sekitar Kuala Lumpur.

Malah, tindakan warga asing tersebut diibaratkan barah yang akan terus merebak sekiranya tidak dicegah dari awal memandang mereka sudah semakin berani berniaga di kawasan tumpuan pelancong sekitar ibu kota.

Terdahulu, DBKL melancarkan operasi membanteras penjaja tanpa lesen atau penjaja 'rambo' di sekitar Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] DBKL tidak nampak? Warga asing bermaharajalela, selamba berniaga di Menara Merdeka 118

BACA LAGI: [VIDEO] YouTuber Indonesia sanggup buat konten, dedah ‘sisi gelap’ KL dipenuhi pengemis warga asing

Menurut DBKL, penjaja warga asing itu digempur selepas menjual sayur-sayuran dan telur di kaki lima jalan.

"Susulan itu, DBKL telah melaksanakan Tindakan Khas Terhadap Penjaja Tanpa Lesen susulan maklumat orang awam yang tular di media sosial, pada Jumaat.

“Melalui maklumat aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL telah menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.

“Setibanya di lokasi mendapati terdapat tiga aktiviti perniagaan yang dilakukan melibatkan seorang penjaja telur ayam (warga asing) dan dua penjaja sayuran, buah-buahan, ikan, barangan am oleh warga tempatan secara tanpa lesen daripada pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Tambahnya lagi, tiga tindakan sita dan pindah barangan perniagaan serta-merta dikeluarkan termasuk dua notis kompaun di bawah kesalahan UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

Sehubungan itu, rata-rata warga maya berharap setiap agensi kerajaan yang terlibat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan yang lebih tegas agar bagi membendung isu tersebut.

Seorang pengguna laman media sosial, Facebook, Insan Sunyi mencadangkan agar pihak kerajaan menggubal undang-undang yang sedia ada agar perkara sama tidak berulang.

"Kerajaan perlu membuat undang-undang atau peraturan baharu. Sepatutnya hantar balik terus ke negara asal dan senarai hitam nama mereka.

"Ikut contoh negara lain, kenapa Malaysia tak boleh lakukan?,"tulisnya.

Mohd Najib turut mencadangkan pihak PBT tempatan membuat kerjasama bersama agensi kerajaan yang lain ketika membuat operasi.

"Harap DBKL buat kerjasama bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya.

Seorang lagi warga maya Mohd Zulkurnain turut bersetuju dengan pendapat Mohd Najib dan berharap agar operasi membanteras penjaja warga asing itu dibuat dengan lebih kerap dengan melibatkan agensi lain.

"Operasi begini perlu diadakan lebih kerap kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi negara dunia ketiga kerana warga asing bebas buat negara seperti di tempat sendiri.

"JIM perlu dilibatkan bagi periksa dokumen mereka ini kerana pekerja asing berniaga sudah melanggar peraturan pas kerja. Buat operasi di Pasar Pudu, Segambut, Sungai Besi dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan tindakan sekumpulan warga asing dengan selamba berniaga menjual sayur-sayuran di pusat bandar Kuala Lumpur.

Lebih mengejutkan, insiden itu berlaku berdekatan dengan puncak menara tertinggi di Malaysia, Merdeka 118 pada Khamis.

Melalui rakaman video berdurasi lebih seminit itu, empat lelaki dipercayai warga asing menjual sayur-sayuran, telur serta buah-buahan di lokasi tersebut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram