'Guru kena terima hakikat, ikut sahaja tarikh ditetapkan KPM'


  • Massa
  • Jumaat, 10 Mei 2024

KPM memaklumkan keputusan peperiksaan SPM 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini dan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM dari sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi. — Gambar hiasan

MAJLIS Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) tidak bersetuju dengan cadangan penukaran tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 lebih awal.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ini kerana keputusan itu pastinya dibuat selepas Kementerian Pendidikan (KPM) membuat perbincangan dari pelbagai sudut.

Pada masa sama menurutnya, tarikh tersebut juga diumumkan dan diuar-uarkan oleh pihak media.

BACA LAGI : Tukar tarikh umum keputusan SPM ke 23 Mei demi mudahkan guru — NUTP

BACA LAGI : Keputusan SPM diumum 27 Mei

"Sudah pasti ibu bapa juga tidak sabar untuk menerima keputusan SPM anak mereka.

"Ikut sahaja tarikh yang ditetapkan oleh KPM. Soal guru sudah bercuti bukan satu isu dan mereka kena terima hakikat," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, sekiranya pengumuman itu dipercepatkan berkemungkinan akan menjejaskan keputusan yang akan diumumkan kelak.

"Kita kena lihat sama ada KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LPM) itu sudah bersedia atau tidak.

"Kalau minta tarikh awal tetapi kalau tiada persiapan rapi pun tak guna juga. Yang kedua, kalau kita minta mereka (KPM) buat kerja secara tergesa-gesa, saya bimbang tidak akan mendatangkan kesempurnaan nanti.

BACA LAGI : [VIDEO] Bekas polis, pelukis pelan JKR antara Geng Bacin ditangkap terlibat kegiatan samun bersenjata di Melaka

Datuk Ali

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan

BACA LAGI : [VIDEO] Ibu meraung tepi jalan lihat anak putus kaki motosikal kemalangan depan sekolah

"Ada baiknya kita beri masa dan tempoh yang secukupnya supaya pihak Lembaga Peperiksaan dan pihak yang bertanggungjawab betul-betul telah bersiap siaga.

"Selain itu, bukan semua guru perlu hadir pada tarikh tersebut dan mungkin golongan pendidik ini secara bergilir boleh mengambil tanggungjawab berada di sekolah.

"Jangan 'paksa' KPM untuk membuat kerja secara tergesa-gesa terhadap keputusan itu kerana saya percaya KPM perlu mengambil masa membuat keputusan melainkan kalau LP sudah membuat persiapan rapi," ujar beliau.

Terdahulu, Majoriti melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon KPM menukar tarikh pengumuman keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 lebih awal bagi memudahkan golongan pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan (NUTP), Fouzi Singon berkata, setelah mendengar keluhan daripada warga pendidik, pihaknya memohon agar keputusan SPM Tahun 2023 tersebut dapat dikeluarkan lebih awal iaitu pada 23 Mei 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram