Polis tahan 4 lelaki positif dadah terlibat cubaan culik wanita di Kulai


  • 112
  • Khamis, 16 Mei 2024

Seorang wanita ditumbuk dan diseret sebelum dipaksa masuk sebuah kereta dalam cubaan menculik di depan rumahnya di Kulai pada 5 Mei lalu.

EMPAT lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam cubaan merompak dan menculik seorang wanita berusia 47 tahun di Taman Lagenda Putra, Kulai, Johor pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada unit D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai melakukan serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar Johor Bahru, Johor dan Kulim, Kedah pada Isnin lepas.

Menurutnya, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta penyalahgunaan dadah.

BACA LAGI: Suami tergamam, isteri menjerit ditumbuk dan diseret sebelum cuba diculik 4 lelaki di Kulai

BACA LAGI: Ketumbit mitos intai orang, rupanya boleh jadi petanda awal kanser

"Mereka juga mengaku telah mengatur untuk melakukan cubaan samun.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic berserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan sebuah Mi Pad dalam serbuan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujar Seng Lee, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 365/511 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bermula Selasa," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditumbuk dan diseret empat lelaki tidak dikenali disyaki warga tempatan sebelum dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta di sebuah rumah di Taman Lagenda Putra.

Seng Lee berkata, suspek turut cuba menarik mangsa masuk ke dalam sebuah kereta namun tidak berjaya.

"Mangsa mengalami luka pada bibir, tangan dan kaki manakala tiada cubaan seperti yang didakwa dalam media sosial." jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram