MASALAH brek dipercayai menjadi punca lori simen yang dinaiki tiga lelaki Orang Asli terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer (KM) 89.5, Jalan Gua Musang-Lojing di Gua Musang, Kelantan pada Rabu.
Kemalangan kira-kira pukul 10.15 pagi itu menyebabkan pemandu lori, David Harun, 42, bersama dua lagi penumpang, Zaki Osman, 23, dan Fauzi Ramli, 28, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dari arah Tanah Tinggi Lojing menghala ke Gua Musang untuk menghantar bancuhan simen.
BACA LAGI: Kali terakhir dilihat naik kereta lelaki misteri, 3 gadis Ranau hilang tanpa jejak
BACA LAGI: Mohon bantuan lelaki misteri, gadis Ranau hilang rupanya cari kerja kerana mahu beli telefon pintar
"Ketika sampai di lokasi kemalangan dengan keadaan jalan berselekoh di kawasan bercerun, lori dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar penutup longkang konkrit di tepi sebelah kiri jalan sebelum menggelongsor masuk ke dalam gaung.
"Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan kerana keadaan jalan berselekoh dan bercerun. Berdasarkan siasatan pihak polis di lokasi terdapat kesan brek sepanjang 415 meter di atas jalan utama," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian.
Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelas beliau.
Majoriti pada Rabu melaporkan tiga lelaki Orang Asli maut selepas lori simen dinaiki terjerumus ke bawah gaung sedalam 150 meter— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram