Mohon bantuan lelaki misteri, gadis Ranau hilang rupanya cari kerja kerana mahu beli telefon pintar


  • Massa
  • Selasa, 14 Mei 2024

Tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang di daerah Ranau, Sabah sejak Jumaat lalu berada dalam keadaan selamat.

TIGA remaja perempuan yang dilaporkan hilang di daerah Ranau, Sabah sejak Jumaat lalu berada dalam keadaan selamat.

Tiga remaja dikenali sebagai Valensia Mail, 15; Roxanne Abbygail Richard, 13, dan Christivy Holyen Hamdy, 13, keluar dari rumah mereka di Kampung Kaingaran pada pukul 7.30 pagi.

Keberadaan mereka berjaya dikenal pasti Polis Daerah Ranau selepas salah seorang daripada remaja tersebut, Roxanne Abbygail memutuskan untuk menghubungi ibunya kira-kira pukul 5.30 petang pada Selasa.

BACA LAGI: Kali terakhir dilihat naik kereta lelaki misteri, 3 gadis Ranau hilang tanpa jejak

BACA LAGI: Tak termakan isu perkauman, agama bukti Umno berjaya pujuk pengundi bantu tawan KKB

Menurut Lorita Satir, 43, ketiga-tiga gadis itu difahamkan bertindak sedemikian semata-mata mahu mencari pekerjaan gara-gara ingin membeli telefon pintar idaman.

"Anak saya telefon dan meminta saya untuk mengambilnya. Saya terkejut kerana menyangka ada apa-apa berlaku dan segera bertanya lokasi mereka.

"Saya juga sempat dengar tuan rumah tempat mereka menumpang bertanya sama ada mereka mahu pulang atau tidak. Kalau tidak, dia mahu bawa ke balai polis.

"Tapi kemudian tiba-tiba anak saya tutup telefon," katanya kepada Majoriti.

Lorita memberitahu, selepas satu minit, Roxanne Abbygail kembali menghubunginya, namun kali ini dia berbicara pula dengan tuan rumah tempat anaknya menumpang tidur.

Keberadaan mereka dikenal pasti Polis Daerah Ranau selepas salah seorang daripada remaja tersebut menghubungi ibunya pada Selasa.

Individu tersebut memaklumkan situasi sebenar yang menimpa tiga remaja berkenaan kepada Lorita.

"Kak, anak kakak ada di rumah saya di Sandakan. Katanya, ada kawan lelaki yang bawa mereka ke sini dan meminta izin untuk menumpang di rumahnya selama dua hingga tiga hari sahaja.

"Mereka dari Ranau mahu cari kerja. Jadi, dia bagi tinggal satu malam.

"Kalau tak salah, lelaki tersebut rakan kepada Valensia yang cuba membantu mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Lorita pada awalnya mengakui terkejut dengan tindakan anaknya untuk mencari pekerjaan sedangkan dirinya masih bersekolah.

"Kami pun terkejut kenapa mereka mahu mencari kerja sedangkan masih sekolah.

"Rupanya mereka (Roxanne Abbygail dan Christivy Holyen) mahu beli telefon. Seorang lagi (Valensia) sudah ada (telefon), jadi dia tolong anak saya cari kerja untuk beli telefon," ceritanya lagi.

Terdahulu pada Selasa, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, polis hanya menerima laporan kehilangan seorang daripada keluarga gadis itu pada pukul 8.48 malam Isnin.

Beliau berkata, siasatan juga mendedahkan ketiga-tiga gadis itu kali terakhir dilihat orang ramai pada kira-kira pukul 8.30 pagi Isnin di bandar Ranau semasa turun dari bas mini berwarna putih.

“Ketiga-tiga gadis itu dilihat mengekori seorang lelaki masuk ke dalam sebuah kereta yang menggunakan nombor plat palsu,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram