[VIDEO] Suspek tembak PM Slovakia penulis berusia 71 tahun, pengasas gerakan politik baharu


  • Benua
  • Khamis, 16 Mei 2024

Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes tembakan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico pada Rabu. — Agensi

SUSPEK yang terlibat dalam kes tembakan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico dikenal pasti sebagai seorang penulis berusia 71 tahun.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Matus Sutaj Estok pada Khamis.

“Saya rasa saya boleh mengesahkan ini, ya (suspek ialah seorang penulis)," katanya selepas ditanya tentang status lelaki yang ditahan di lokasi kejadian tembakan di bandar Handlova, pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] PM Slovakia kritikal, kena tembak 4 kali lepas mesyuarat Kabinet

BACA LAGI: Suspek tembak KLIA akui masih sayangkan Farah Cie

Media antarabangsa memaklumkan, suspek merupakan pengasas Kelab Sastera Duha (Pelangi) dan berasal dari bandar Levice.

Dia yang juga ahli Persatuan Penulis Slovak rasmi pernah menghasilkan tiga koleksi puisi.

Persatuan tersebut mengesahkan di Facebook bahawa lelaki itu sudah menjadi ahli sejak 2015.

Anak lelaki suspek memberitahu media bahawa dia langsung tidak mengetahui tentang perancangan bapanya dan punca dia bertindak sedemikian.

Dia berkata, bapanya adalah pemilik senjata api yang berdaftar secara sah.

Lelaki itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada suspek menyimpan kebencian terhadap Fico.

"Saya hanya boleh cakap, bapa tidak mengundinya (Fico). Itu sahaja yang boleh saya katakan mengenainya,” katanya.

Sementara itu, ketua perpustakaan tempatan di kampung halaman suspek memberitahu, suspek memang seorang yang jenis suka memberontak sewaktu muda, namun dia tidaklah terlalu agresif.

Berdasarkan tinjauan, agensi media mendapati suspek pernah beberapa kali memuat naik perkongsian mengenai suasana politik di negara tersebut menerusi platform media sosialnya sebelum ini.

“Dunia penuh dengan keganasan dan senjata. Orang ramai mula kelihatan tidak siuman,” katanya dalam video lapan tahun lalu yang disiarkan secara dalam talian.

WhatsApp Image 2024-05-16 at 10.34.30

Fico ditembak sebanyak lima kali dalam percubaan membunuhnya pada Rabu. — Agensi

Menerusi video itu juga, lelaki berkenaan banyak mengupas mengenai Gerakan Menentang Keganasan yang diasaskannya di Levice.

Gerakan tersebut yang turut mempunyai akaun Facebook sendiri membawa pegangan bahawa mereka adalah fahaman politik baharu yang muncul dengan matlamat untuk mencegah keganasan dalam masyarakat, bagi mengelakkan peperangan di Eropah.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Slovakia, Robert Kalinak dalam satu sidang akhbar mengatakan bahawa penembakan ke atas Perdana Menteri tersebut adalah berunsurkan serangan politik.

"Cubaan pembunuhan ke atas Fico adalah bermotifkan politik dan maklumat itu diperoleh berdasarkan temu bual awal dengan suspek," katanya.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram