SIAPA sahaja yang tidak pernah terkena masalah ketumbit pada kelopak mata yang menyebabkan bahagian itu berasa sakit, merah-merah, pedih dan gatal, selain benjolan dipenuhi nanah.
Lebih menyedihkan, segelintir individu terkena penyakit itu berhampiran tarikh-tarikh penting yang memerlukan mereka untuk berdepan dengan khayalak ramai.
Seperti mana yang berlaku baru-baru ini kepada penyanyi, Hael Husaini apabila dia panik selepas berdepan masalah ketumbit menjelang malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).
BACA LAGI: [VIDEO] Lima kampung tenggelam, 15 maut insiden tanah runtuh dan banjir di Indonesia
BACA LAGI: Michelle Yeoh beri inspirasi kepada semua — Joe Biden
Masalah itu menyebabkan juara AJL 32 dan AJL 33 itu berasa kurang selesa dan meminta tip daripada pengikutnya.
"Nak buat apa untuk bagi cepat kecut?," tulisnya di ruangan komen di Instagram.
Masyarakat kita sering mengaitkan ketumbit atau benjolan pada kelopak mata dengan tabiat buruk seseorang iaitu suka mengintai.
Selain itu, ada tanggapan yang keadaan itu boleh dijangkiti sekiranya berdekatan dengan mereka yang mengalami ketumbit.
Meskipun sekadar gurauan, masyarakat perlu mengambil serius dengan masalah ketumbit yang alami.
Ini kerana, ia berisiko menjadi bahaya sekiranya benjolan yang disangka ketumbit itu sebenarnya sejenis kanser iaitu tumor kelenjar sebaceous.
Bahaya sekiranya benjolan yang disangka ketumbit itu sebenarnya tumor kelenjar sebaceous.
Seorang pakar Oftalmologi dan Kornea, Dr Lael Salim berkata, individu yang terkena ketumbit dengan kerap ataupun tidak mahu surut perlulah mendapatkan pemeriksaan doktor.
"Jika ketumbit tak mahu surut, terlalu banyak dan kerap tumbuh semula, ini pun kena jumpa doktor mata.
"Takut bukan ketumbit biasa, sebaliknya petanda awal sejenis kanser pada kelopak mata dipanggil sebaceous carcinoma," katanya.
Dr Lael berkata, meskipun kanser ini jarang berlaku tetapi seseorang sukar untuk mengesannya jika tidak membuat pemeriksaan doktor.
Beliau turut menjelaskan bahawa ketumbit yang terjadi sebenarnya merupakan tindak balas yang berlaku apabila liang minyak pada kelopak mata tersumbat.
"Mata kita ada banyak liang minyak. Yang bahagian dalam dipanggil meibomian glands, yang bahagian luar berdekatan bulu mata dipanggil zeis dan moll glands," katanya.
Menurut Dr Lael, liang minyak ini boleh menjadi tersumbat apabila keadaan kulit seseorang tidak bersih dan bermasalah.
"Jika penghasilan minyak tersangat banyak pun liang ni akan mudah tersumbat juga," katanya.
Kompres suam merupakan cara paling berkesan untuk meredakan ketumbit. — Gambar Hiasan
Selain itu, Dr Lael turut memberi tip untuk menghilangkan dengan menggunakan kompres suam yang merupakan kaedah paling berkesan dalam merawat ketumbit.
"Apabila kita berikan haba, liang minyak ni akan terbuka dan minyak di dalamnya boleh mengalir dengan lebih baik.
"Jadi jika awak semua nampak ketumbit baru nak tumbuh, lekas-lekas lakukan tuaman suam dengan kain bersih," katanya.
Anda boleh mengamalkan cara hilangkan ketumbit mata ini tiga hingga empat kali setiap hari selama lima minit.
Walaubagaimanapun, jika kompres suam ini tidak membantu, maka suatu torehan pada bahagian dalam kelopak mata boleh dibuat oleh doktor mata untuk melegakan sumbatan.
"Jika liang minyak bahagian dalam yang tersumbat, ketumbit ni kita panggil chalazion atau internal hordeolum.
"Teknik torehan pada bahagian kelompak mata dipanggil incision and curettage," katanya.
Masalah tersumbat pada liang minyak bahagian luar mata ianya dipanggil ketumbit stye atau external hordeolum.
Manakala, jika seseorang mengalami masalah tersumbat pada liang minyak bahagian luar mata ianya dipanggil ketumbit stye atau external hordeolum.
"Selain tuaman suam, minyak di bahagian tersebut juga boleh mengalir dengan lebih baik setelah kita cabut bulu mata pada kelenjar yang terlibat," katanya.
Dr Lael turut menjelaskan bahawa jangkitan kuman atau bakteria yang dilibatkan seluruh kelopak mata.
"Sama macam liang lain, apabila aliran di dalamnya tersekat, maka lebih mudah untuk jangkitan kuman berlaku.
"Jika dah jadi macam ni, jangan cuba rawat sendiri tetapi perlu jumpa doktor dengan segera," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram