[VIDEO] Dua lelaki berpantang ajal lepas terperangkap kereta dihempap pokok di Alor Setar


  • 112
  • Khamis, 16 Mei 2024

Dua lelaki nyaris maut akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah pada Khamis. — Ihsan bomba

DUA lelaki terperangkap dalam kenderaan mereka selepas sebatang pokok besar tumbang dan menghempap kedua-dua kereta berkenaan di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah pada Khamis.

Ketua Balai Bomba Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, mangsa dikenali sebagai Ismail Yaacob, 61, dan Miswan Shah Dasnir, 38, walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya diselamatkan orang awam dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai memaklumkan kejadian itu pukul 3.43 petang.

“Seramai 12 anggota bomba dari balai bomba Alor Setar dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus selepas panggilan kecemasan diterima,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk sampai sesak nafas dihempap pokok tumbang ketika helikopter Jokowi mendarat

BACA LAGI: Spesies tidak sesuai punca banyak pokok tumbang di bandar — Pakar

Beliau berkata, mangsa ditarik keluar oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Tambahnya, dua kenderaan pemadam kebakaran dan sebuah unit motosikal turut dihantar membantu dalam operasi itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi Majlis Bandaraya Alor Setar dan Tenaga Nasional Berhad untuk membantu membersihkan tapak tersebut dan operasi tamat kira-kira pukul 5 petang.

Untuk rekod, kejadian tumbang pokok di Alor Setar bukanlah yang pertama berlaku sejak kebelakangan ini.

Pada Ahad lalu, sebatang pokok besar di Jalan Macalister, Pulau Pinang dilaporkan tumbang akibat hujan ribut yang melanda kira-kira pukul 10 pagi.

Pokok itu tumbang di seberang jalan dan menghempap ​​sebuah lagi pokok, yang kemudiannya tumbang di kawasan parkir kenderaan, sekali gus menyebabkan empat kereta di situ mengalami kerosakan.

Namun, tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dengan kedua-dua pokok itu dipercayai telah pun berusia lebih 100 tahun.

Tambahan itu, seorang lelaki maut dan dua lagi tercedera selepas dihempap pokok gergasi yang tumbang di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur pada Selasa lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram