PENGGUNAAN sumber air alternatif majoritinya digunakan di kawasan yang mempunyai masalah kekurangan atau kualiti air bersih.
Jika di Malaysia, negeri Kelantan antara yang bergantung tinggi kepada sumber air alternatif seperti air bawah tanah.
Sumber air tersebut yang lebih dikenali sebagai 'boring' bertujuan untuk mengepam air melalui proses penggerudian dari bawah tanah ke permukaan dengan menggunakan saluran paip.
Sumber air bawah tanah di sesuatu kawasan itu akan diambil dari lapisan batuan keras granit atau batuan keras lain dan air disedut dari dalam tanah lebih 20 meter atau beratus meter dari permukaan bumi.
BACA LAGI: Penggalian air bawah tanah undang risiko, kerajaan Kelantan perlu beri penyelesaian — ABIM
Rata-rata penduduk terpaksa menggali air di bawah tanah untuk mendapatkan bekalan air bersih. — Facebook
Air yang diekstrak itu dipercayai lebih berkualiti jika mahu dibandingkan dengan air dari permukaan sungai dan kolam.
Boring atau dipanggil juga telaga tiub juga banyak digunakan dalam kalangan para peniaga yang menjadikannya sebagai sumber utama mendapatkan air bersih.
Penebangan hutan
Namun, penggunaan 'boring' itu sebenarnya tidak akan menjadi satu jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah air di negeri tersebut.
Hal ini kerana, menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, penggunaan air bawah tanah sama ada menggunakan kerek atau telaga tiub secara berterusan sedikit sebanyak memberi kesan kepada alam sekitar.
Piarapakaran berkata, perkara itu akan menjadi lebih teruk apabila berlakunya penebangan hutan secara berterusan kerana ia akan mengurangkan kadar isian semula air bawah tanah daripada sumber air hujan.
BACA LAGI: Fikir masak-masak', 2 masalah utama pengundi Kelantan perlu ambil kira
Piarapakaran berkata, penebangan hutan berterusan akan mengurangkan kadar isian semula air bawah tanah daripada sumber air hujan.
Beliau juga tidak menafikan bahawa ada segelintir pihak yang mempunyai kepentingan peribadi mendakwa air bawah tanah boleh selesaikan masalah kekurangan bekalan air.
"Sebenarnya, ada beberapa kawasan di Kelantan sedang mengalami keadaan air bawah tanah berkurangan disebabkan oleh musim panas.
"Realitinya, air bawah tanah perlu diisi semula melalui air hujan dan kawasan litupan hutan adalah penting.
"Pengekstrakan air bawah tanah akan mengurangkan aras air bawah tanah dan boleh menjejaskan aras sungai berhampiran. Ini juga menyebabkan pemendapan tanah," katanya kepada Majoriti.
Tahap keselamatan tidak teruji
Menurutnya, keadaan itu tidak ubah seperti yang berlaku di Jakarta, Indonesia yang juga berpunca daripada pengekstrakan air bawah tanah yang banyak dan berterusan.
Bukan itu sahaja, penggunaan sumber air bawah tanah menggunakan kaedah tersebut juga akan mengakibatkan peningkatan kekerapan kebakaran tanah gambut, penerobosan air laut dan pergerakan logam-logam dorman dalam tanah.
"Ia boleh menyebabkan bekalan air bawah tanah tidak sesuai untuk digunakan dan sebagainya.
"Bekalan air bawah tanah juga terdedah kepada masalah pencemaran daripada aktiviti manusia dan kekurangan faktor pencairan dalam air bawah tanah," jelasnya.
Penggunaan 'boring' air akan memberi kesan jangka panjang meskipun penduduk dapat bekalan air. — Gambar hiasan/The Star
BACA LAGI: Kerajaan Kelantan sokong pelarasan tarif air, yakin mampu tingkatkan kualiti perkhidmatan
Rentetan itu, Piarapakaran menegaskan agar pihak bertanggungjawab di negeri berkenaan menggunakan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN) untuk menambah baik infrastruktur perkhidmatan air dengan lebih efektif.
Katanya, pembinaan empangan air boleh meningkatkan keberkesanan penyediaan air mentah untuk kegunaan perawatan air dan membantu mengurangkan risiko banjir semasa musim monsun.
"Sebenarnya, kualiti air bawah tanah yang digunakan terus melalui telaga tidak diuji untuk menetapkan tahap keselamatan sebagai air minuman.
"Banyak negeri-negeri dengan penggunaan air bawah tanah yang tinggi adalah negeri-negeri yang sangat lambat menstruktur semula menggunakan PSIPAN," tambahnya.
Sebelum ini, Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Syahiran Muhammad dalam satu kenyataan di Facebook menjelaskan pendekatan 'boring' tidak sesuai meskipun ia membekalkan air bersih kepada pengguna.
Katanya, walaupun ia menjamin sumber air kepada rakyat, namun amat bahaya kepada alam sekitar kerana jika aktiviti penggalian boring air dan telaga tiub tidak dikawal, negeri ini akan terkesan dengan fenomena tanah mendap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram