Tak cukup kulit tampung badan belakang, Nurul Masyitah ditidurkan lepas jalani pembedahan lebih 5 jam


  • Massa
  • Rabu, 15 Mei 2024

Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias, 20, terpaksa ditidurkan selepas menjalani pembedahan lebih lima jam di hospital.

ATLET kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias, 20, terpaksa ditidurkan selepas selesai menjalani pembedahan selama lebih lima jam di sebuah hospital swasta pada Selasa malam.

Perkembangan itu dikongsikan Pegawai Eksekutif Persatuan Kanu Malaysia, Shafinas Osman pada Rabu.

Beliau memaklumkan, atlet negara itu akan menjalani satu lagi pembedahan kerana memerlukan kulit baharu untuk ditampal di bahagian belakangnya yang cedera akibat diseret sejauh 600 meter.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu mabuk langgar Siti Nurul Masyitah sah memandu bawah pengaruh alkohol, ada 7 saman trafik tertunggak

BACA LAGI:[VIDEO] Atlet kayak Malaysia parah diseret 600m pemandu mabuk di Lebuhraya EDL

"Saya dimaklumkan pembedahan berjalan dengan lancar dengan bahagian pelvis kiri dan kanan di pasang plate.

"Skru turut dipasang di bahagian kaki kirinya serta tulang bahu kanan berdekatan dengan tulang selangka yang patah turut dipasang skru.

"Tapi ketika ini Siti terpaksa ditidurkan. Saya dimaklumkan bahagian belakangnya tak cukup kulit untuk menampung bahagian yang diseret itu.

"Kes Siti ini akan dirujuk dengan pakar pembedahan plastik untuk membincangkan bagaimana cara terbaik untuk menampung bahagian belakangnya," katanya menurut The Star.

Menurut Shafinas, wakil persatuan sehingga kini masih belum boleh melawat Nurul Masyitah kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Terdahulu, Nurul Masyitah dilaporkan mengalami retak bahu kanan, tulang pinggul dan luka di bahagian kaki akibat terbabit kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor Bahru, Johor Sabtu lalu.

Dalam sebuah rakaman tular, Masyitah diseret sejauh 600 meter sewaktu dilanggar oleh pemandu tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi sebelum dirempuh kereta dipandu suspek dari arah belakang pukul 4.30 petang.

Jelasnya, kereta suspek dari arah belakang mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram