Kejadian di SUKE bukan kali pertama, ramai dakwa taktik jahat penyamun


  • Tular
  • Rabu, 15 Mei 2024

Beberapa warganet di Twitter mendakwa pernah mengalami kecederaan di dagu dan jari selepas terkena benang yang melintang di Lebuhraya SUKE, Selangor.

BEBERAPA individu tampil mendakwa laluan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Selangor sebagai kawasan berbahaya kerana pernah tercedera akibat terkena tali yang melintang di kawasan tersebut.

Ia susulan perkongsian dimuat naik seorang lelaki yang mengalami kesan calar di dagunya ketika menunggang motosikal di laluan tersebut pada Isnin.

Kejadian itu yang pada mulanya dianggap sebagai kemalangan tanpa disengajakan, kini berubah selepas beberapa pihak tampil berkongsi pengalaman sama di laman Twitter.

BACA LAGI: 'Bukan berpuluh, tapi beratus', langkah sekat van Thailand ke Malaysia mampu kekang sindiket seludup PATI — PEMBAWA

BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang motosikal cedera di leher terkena 'jerat' tali tangsi di SUKE

2694090

Perkongsian seorang lelaki yang cedera di dagu akibat terkena tali tangsi di Lebuhraya SUKE pada Isnin.

"Saya terjerut tali tangsi di leher ketika menunggang motosikal di susur masuk Lebuhraya SUKE berhampiran simpang Kampung Dato Mufti," kata mdzulhilmi.

"Tengah-tengah malam elakkan la lalu mana-mana laluan sunyi di sekitar SUKE ini, bahaya dan risiko disamun amatlah tinggi," jelas Ufaihal.

"Aku pernah kena sebelum ini, betul selepas keluar SUKE, sangkut dekat baju nasib baik bawa perlahan, tapi terbelah jugak la jari terkena tali warna hitam macam tali layang-layang," ujar khaliqramli.

Rata-ratanya mendakwa ia sebagai perbuatan disengajakan oleh individu tidak bertanggungjawab yang berniat jahat di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya mengesan satu paparan berkaitan insiden itu yang tular di laman sosial pada Isnin.

Mangsa kemudiannya hadir membuat laporan polis di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor pukul 10.21 pagi Rabu.

"Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci berkaitan kes itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram