[VIDEO] Kereta calar 'disagat' ambulans, pemandu disaran segera repot polis 24 jam untuk tuntut pampasan


  • Tular
  • Rabu, 15 Mei 2024

Tangkap layar sebuah kereta kemik dan calar akibat dilanggar tanpa sengaja kenderaan ambulans dipercayai di Kuala Lumpur pada Selasa.

SEORANG pemandu lelaki mendakwa keretanya dilanggar oleh sebuah kenderaan ambulans yang memecut laju di lorong kanan jalan raya dipercayai di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mendakwa terlebih dahulu memberikan laluan dan beralih ke lorong kiri, namun kenderaan ambulans itu tanpa sengaja telah merempuh bahagian kanan pemandu yang sekali gus meninggalkan kesan calar dan kemik pada keretanya.

Kecewa dengan insiden berkenaan, individu dikenali sebagai Abdul Rauf Rahim itu tampil mempersoal undang-undang dan saman melibatkan kenderaan awam terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis langgar kenderaan awam, ketahui kaedah tuntutan boleh dibuat terhadap kerajaan

BACA LAGI: Samseng pedang samurai, provokasi peniaga ketam nipah antara 4 kes diberkas lepas ‘sentuh’ penguat kuasa

"Minta pendapat, adakah kerana kau sebuah kenderaan ambulans boleh memandu melulu dan kebal daripada kesalahan," soalnya di laman Facebook.

Susulan insiden berkenaan, seorang peguam, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar sebelum ini pernah menjelaskan tindakan perlu diambil sekiranya berdepan situasi tersebut.

"Jika berlaku kemalangan seperti itu, pemandu harus membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dengan menyertakan bahan bukti sekali.

"Ini kerana, bagi kenderaan yang dimiliki oleh pasukan polis ataupun ambulans, ia tidak dilindungi oleh insurans.

"Tapi jangan risau, kerana anda boleh membuat tuntutan kepada kerajaan untuk mendapatkan pampasan," katanya kepada Majoriti.

Ini dinyatakan di bawah Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan 1956 yang mana tertakluk kepada kerajaan akan bertanggungjawab ke atas sebarang perbuatan salah yang dilakukan atau sebarang pengabaian atau keingkaran dilakukan oleh mana-mana pegawai awam dengan cara yang sama.

Tambahnya, berdasarkan undang-undang, jika anggota atau pegawai kerajaan melakukan sesuatu yang salah atau mengabaikan kewajipan mereka, maka kerajaan sendiri akan bertanggungjawab ke atas tindakan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram