Kereta pengiring dihempap pokok tumbang, KM Melaka gesa pihak berkuasa pantau pokok di ibu negara


  • Primer
  • Isnin, 13 Mei 2024

Sebuah kenderaan PDRM yang bertindak sebagai konvoi pengiring Ab Rauf Yusoh terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, Kuala Lumpur. — Ihsan PDRM

SUSULAN insiden pokok tumbang yang hampir menghempap kenderaan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Isnin, beliau menggesa pihak berkuasa memantau pokok-pokok berada di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Meskipun terselamat dalam insiden terbabit, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berharap pemantauan perlu dilakukan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, beliau berada di lokasi kejadian yang menimpa sebuah kereta ketika dalam perjalanan menghadiri program rasmi.

BACA LAGI: Insiden pokok tumbang KL, ramai desak DBKL 'kosongkan' pokok tua tengah bandar raya

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden pokok tumbang KL: Seorang maut, 17 kenderaan rosak

"Tatkala itu kenderaan saya tidak bergerak memandangkan suasana cuaca ketika itu tidak mengizinkan kenderaan saya bergerak.

"Polis yang mengiringi saya baru sahaja melintas di kawasan tersebut, tapi malang pokok tersebut juga menghempap di bahagian belakang kereta pengiring saya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Difahamkan kenderaan pengiring itu dinaiki lima anggota polis.

Terdahulu, hujan lebat serta angin kuat telah menyebabkan sebatang pokok tumbang dan hampir mengenai kenderaan Ab Rauf Yusoh di Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada Isnin.

Bagaimanapun, pokok terbabit tidak mengenai kenderaan yang dinaikinya namun kereta pengiring polis jenis Proton X70 yang berada hadapan dilaporkan terkena pokok yang tumbang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian itu dan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram