[VIDEO] Pemandu mabuk langgar Siti Nurul Masyitah sah memandu bawah pengaruh alkohol, ada 7 saman trafik tertunggak


  • 112
  • Rabu, 15 Mei 2024

Siti Nurul Masyitah (kanan) cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu mabuk di Lebuhraya EDL, Johor pada Sabtu.

POLIS membebaskan pemandu mabuk yang melanggar atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias dengan jaminan selepas melanggarnya pada Sabtu lalu.

Atlet berusia 22 tahun itu parah dilanggar dari belakang semasa menunggang motosikal di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) menghala ke Kota Tinggi sekitar pukul 4.30 petang.

Masyitah mengalami kecederaan pada bahu kanan, tulang pinggul dan belikat pada kaki.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Bukan semua atlet dari keluarga senang’, KBS bantu atlet kayak parah diseret pemandu mabuk

BACA LAGI: [VIDEO] Atlet kayak Malaysia parah diseret 600m pemandu mabuk di Lebuhraya EDL

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemandu tersebut dilepaskan dengan jaminan polis selepas didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Namun begitu, pemandu tersebut mempunyai tujuh kesalahan trafik yang masih belum dilunaskan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 iaitu memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000," kata Raub dalam kenyataan pada Rabu.

Selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau, ujian air kencing pemandu itu mendapati dia tidak dipengaruhi dadah sewaktu kejadian.

Dalam sebuah rakaman yang tular, Masyitah dilihat diseret sejauh 600 meter sewaktu dilanggar oleh pemandu tersebut. Atlet negara itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta dekat Iskandar Puteri.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan di Politeknik Sultan Ibrahim itu sering berulang alik dari tempat belajar ke rumahnya kerana perlu menjaga ibu bapanya yang tidak sihat.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram