Spesies tidak sesuai punca banyak pokok tumbang di bandar — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 15 Mei 2024

Kejadian pokok tumbang di kawasan bandar sehingga meragut nyawa baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk dan pakar alam sekitar.

KEJADIAN pokok tumbang di kawasan bandar telah mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk dan pakar alam sekitar. Salah satu punca utama yang dikenal pasti ialah pemilihan spesies pokok yang tidak sesuai untuk persekitaran bandar.

Fenomena ini bukan sahaja merosakkan harta benda, tetapi juga mengancam keselamatan awam dan kesejahteraan ekosistem bandar.

Pakar Arborist, LAr Hashim Gombri CA berkata, pemilihan spesies pokok yang tidak sesuai menyebabkan pokok-pokok ini tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam persekitaran bandar yang sering berubah.

BACA LAGI: Insiden pokok tumbang KL, ramai desak DBKL 'kosongkan' pokok tua tengah bandar raya

BACA LAGI: [VIDEO] Vellfire remuk kena hempap pokok tumbang di KL, kenderaan Ketua Menteri Melaka dilapor nyaris terima nasib sama

"Dalam erti kata mudah, sesetengah spesies pokok yang dipilih tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tanah dan ruang akar yang terhad.

"Sebagai contoh, pokok Samanea Saman yang banyak ditanam di sekitar bandar Kuala Lumpur, pokok yang sihat mungkin memerlukan 30-meter padu tanah untuk pertumbuhan sepanjang hayatnya dan sekiranya ditanam di tempat yang salah menyebabkan pokok-pokok ini tidak mendapat ruang yang cukup untuk akar berkembang dengan baik.

"Masalah ini menjadi lebih meruncing lagi dengan kaedah penanaman yang tidak sesuai. Banyak pokok ditanam terlalu dekat dengan jalan raya dan bangunan, menyebabkan sistem akar tidak berkembang dengan baik," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-05-14 at 19.23.45

Pakar Arborist, LAr Hashim Gombri CA

Tambah beliau lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) juga seharusnya lebih kerap melakukan pemeriksaan berkala terhadap semua pokok di bandar-bandar besar.

"Ia bagi membolehkan keadaan semua pokok di bawah selia PBT terutamanya yang telah berusia berada dalam keadaan selamat.

"Isu penyelenggaraan juga memainkan peranan penting. Pokok memerlukan pekerja mahir atau pakar pokok (arborist) untuk memeriksa dan menjalankan penyelenggaraan yang diperlukan. Penyelenggaraan dan pemeriksaan pokok matang perlu kerap dilakukan pada tiga hingga enam bulan sekali," ujarnya.

Jelas beliau lagi, pemeriksaan sistem akar yang lebih teratur perlu diambil berat dan kegagalan sistem akar sering dikaitkan dengan pokok tumbang di bandar.

"Sehubungan itu, katanya, ketiadaan penjagaan dan penyelenggaraan yang betul menyebabkan pokok-pokok tersebut mudah rosak dan tumbang.

Rescue teams in action cutting the fallen tree in Jalan Sultan Ismail near Concorde Hotel on May 07.—AZMAN GHANI/The Star

Kejadian pokok tumbang yang berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu telah membuat kerosakan kepada fasiliti awam termasuk menghalang laluan monorel dan menghempap 17 buah kenderaan.

"Pada masa sama, kerjasama antara ahli ekologi, perancang bandar, dan PBT adalah penting untuk memastikan pemilihan dan penanaman pokok yang betul.

"Selain pihak arborist, arkitek landskap memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan hijau. Oleh itu telah tiba masanya penglibatan sepenuhnya kemahiran perkhidmatan Arkitek Landskap perlu diperluaskan agar kegagalan pokok di kawasan bandar dapat dielakkan).

"Pengurusan pokok bermula dari awal tanaman ditapak pembangunan dan jika pengurusan risiko dikawal selia seawal usia penanaman, risiko pokok tumbang di kawasan bandar dapat dielakkan. Kawasan bandar memerlukan kanopi pokok yang memberikan fungsi terhadap kestabilan ekosistem dan manfaat terhadap manusia.

"Jika pengurusan risiko dikawal pada peringkat perancangan dan pelaksanaan kerja semasa kerja-kerja pembangunan dijalankan maka risiko pokok tumbang dapat dielakkan," tambah beliau lagi.

Terdahulu, kejadian pokok tumbang yang berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu telah membuat kerosakan kepada fasiliti awam termasuk menghalang laluan monorel dan menghempap 17 buah kenderaan.

Dalam kejadian sama, seorang lelaki berusia 47 tahun maut dan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun cedera.

Pada Selasa, satu lagi kejadian pokok tumbang menghempap kenderaan dilaporkan berlaku di Jalan Pinang. Menerusi beberapa rakaman video dan gambar yang tular, kejadian dilaporkan berlaku di hadapan Menara Prestige dan menyebabkan beberapa kenderaan terkesan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram