Polis belum terima laporan penunggang motor cedera di dagu terkena 'jerat' tali di SUKE, desak mangsa tampil


  • 112
  • Selasa, 14 Mei 2024

Seorang lelaki mendakwa mengalami kecederaan di dagu dan jari selepas terkena benang yang melintang di Lebuhraya SUKE selepas susur keluar Taman Kosas menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai dekat Ampang, Selangor baru-baru ini.

PIHAK polis mengesahkan masih belum menerima lagi laporan dakwaan seorang lelaki cedera akibat terkena tali yang melintang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) selepas susur keluar Taman Kosas menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai dekat Ampang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya terkesan satu paparan berkaitan insiden itu yang tular di laman sosial pada Isnin.

"Seorang individu mendakwa mengalami kecederaan di muka akibat kejadian itu.

“Kejadian didakwa berlaku di sepanjang SUKE sejurus susur keluar Taman Kosas menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai.

BACA LAGI: 'Bukan berpuluh, tapi beratus', langkah sekat van Thailand ke Malaysia mampu kekang sindiket seludup PATI — PEMBAWA

BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang motosikal cedera di leher terkena 'jerat' tali tangsi di SUKE

“Kami masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menggesa mangsa tampil ke mana-mana balai polis berhampiran dan membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Kami juga menggesa sesiapa yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan di ibu pejabat polis Ampang Jaya.

“Kami juga akan menjalankan siasatan dan mengadakan pertemuan dengan pengendali lebuh raya berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambah Mohd Azam lagi, pihak polis turut meminta kerjasama mangsa berkenaan untuk tampil ke mana-mana balai polis terdekat bagi membuat laporan berkaitan dengan insiden itu.

"Sekiranya ada saksi lain bagi insiden ini juga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram