TINDAKAN orang awam bertindak pantas menahan seorang lelaki dipercayai memandu kenderaan secara berbahaya dan mengancam keselamatan orang lain Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada Khamis menerima pujian warga maya.
Manakan tidak, pemandu jenis Perodua Myvi itu turut didakwa khayal dibawah pengaruh dadah dan kereta miliknya mengandungi bahan terlarang.
Menerusi video tular yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp sejak Jumaat mendapati lelaki berkenaan ditahan beberapa orang awam dan turut kelihatan beberapa kenderaan remuk teruk dilanggar Perodua Myvi terbabit.
BACA LAGI: [VIDEO] DBKL tidak nampak? Warga asing bermaharajalela, selamba berniaga di Menara Merdeka 118
Melalui maklumat awal yang dikongsikan juga mendapati kereta suspek yang dipandu laju telah merempuh beberapa kenderaan sebelum berpusing beberapa kali di lebuh raya berkenaan sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di lokasi kejadian.
Turut kedengaran suara seorang lelaki meluahkan rasa marah selepas kenderaannya rosak dilanggar suspek.
"Habis kereta saya kena langgar dia ini yang hisap dadah.
"Semua barang bukti dan rakaman video sudah diambil. Hancur kereta saya. Bukan setakat kereta saya, orang lain pun kena sama," teriaknya.
Dalam video lain yang dikongsikan turut mendakwa lelaki berkenaan menyimpan bahan terlarang dan berada dalam pengaruh dadah.
"Dia ini jual dadah bos, banyak kereta dia langgar, 'lalok' (khayal)," dakwanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram