WARGA kota digemparkan dengan insiden pokok tumbang yang mengorbankan satu nyawa dan seorang mangsa yang cedera di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Fatta Mohd Amin berkata, insiden terbabit turut menyebabkan sebanyak 17 kenderaan dan landasan monorel terjejas.
Menurutnya, seramai dua mangsa yang terperangkap dalam insiden itu berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat.
BACA LAGI: [VIDEO] Insiden pokok tumbang KL: Seorang maut, 17 kenderaan rosak
"Mangsa pertama seorang lelaki berumur 47 tahun disahkan meninggal dunia oleh paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sementara mangsa kedua, lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan telah diserahkan pasukan perubatan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, warganet turut terkesan dengan kejadian terbabit yang disifatkan cukup menyayat hati dan turut menimbulkan kebimbangan pemandu yang bekerja di kawasan berhampiran.
Rata-ratanya menggesa agar pihak berwajib Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah drastik dengan menebang kesemua pokok besar 'tua' yang menghalang laluan jalan raya sebelum lebih ramai nyawa terkorban akibat kejadian serupa.
"Pokok yang berusia lebih 30 tahun sepatutnya DBKL tebang dan ditanam dengan yang baharu, kalau dibiarkan itu yang boleh tumbang dipukul angin ribut," kata Johari Aris.
"Perkara menakutkan di sesetengah pekan bandar, pokok-pokok hiasan tinggi di kawasan tumpuan tengah bandar memang perlu ditebang, banyak dah makan nyawa dan hempap kereta," ujar Kawati Hussin.
"Kenapa perlu ada pokok yang ditanam di kawasan bandar, siapa yang nak bertanggungjawab kalau dah makan nyawa orang, sebelum perkara berulang lebih baik DBKL tebang semua yang berdahan besar," tambah Mohd Farouk.
Dalam pada itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, ekoran insiden itu, tiada perkhidmatan antara Stesen KL Sentral dan Stesen Medan Tuanku, dan pihaknya mengaktifkan perkhidmatan tren antara Titiwangsa dan Medan Tuanku (Platform 1) serta bas perantara pergi dan balik dari KL Sentral ke Medan Tuanku.
"Pihak Rapid KL sedang bekerjasama dengan DBKL untuk menyelesaikan gangguan tersebut secepat mungkin.
"Buat masa ini anggota polis dan bomba sedang mengawal keadaan lalu lintas di tempat kejadian dan sebarang kemas kini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial dan aplikasi PULSE.
"Kami memohon maaf di atas gangguan luar jangka ini dan berterima kasih di atas kesabaran penumpang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram