POLIS membuka kertas siasatan mengenai tindakan sekumpulan individu yang memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands seperti dalam video yang tular beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataan pada Rabu berkata, polis menerima aduan berhubung perkara itu pukul 12.35 tengah di Balai Polis Bentong.
Katanya, laporan polis itu berdasarkan rakaman video yang tular yang mana tindakan memasak di stesen minyak itu menimbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat kerana ia berbahaya.
BACA LAGI: Mayat hampir reput ditemui di cerun bukit di Genting Highlands
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu naik hantu 'King' kena hentam Nissan Fairlady di Genting Highlands
Polis akan membuat siasatan mengenai kegiatan sekumpulan remaja itu.
"Hasil siasatan pihak polis mendapati, rakaman video terbabit tular melalui satu laman sosial X dan dimuat naik pada 13 Mei lalu.
"Klip video berdurasi lebih kurang 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
"Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Rakaman video yang tular menunjukkan sekumpulan individu lelaki dan wanita melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih dan menjamu selera mengundang kemarahan netizen kerana ia berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram