Wartawan portal Inggeris selesai beri keterangan kes artikel kasino di Forest City


  • 112
  • Isnin, 06 Mei 2024

Wartawan itu kelihatan meninggalkan IPD Bukit Aman selepas selesai memberikan keterangan bagi kes fitnah berkenaan.

WARTAWAN sebuah portal berbahasa Inggeris selesai memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel mengenai kasino di Forest City, Johor.

Individu itu dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada pukul 11.00 pagi setelah dirakam keterangan lebih dua jam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan diawalkan berbanding waktu asal ditetapkan pada jam 11.00 pagi.

BACA LAGI: Dakwaan kasino beroperasi di Forest City, Berjaya buat laporan polis

BACA LAGI: Sumbat pemfitnah kasino Forest City ke penjara — PM Anwar

IGP Tan Sri Razarudin Husain speaking to reporters at Bukit Aman on Tuesday (Feb 2).—SHAARI CHEMAT / THESTAR

Razarudin mengesahkan sesi memberi keterangan dibuat di USJT Bukit Aman.

“Proses rakaman keterangan berlangsung di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya yang ditemui media.

Pada Jumaat lalu, Tan Sri Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan susulan satu laporan yang dibuat peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg’.

Siasatan dilakukan selepas artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.

Justeru, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Terdahulu, beberapa pihak menggesa kerajaan supaya menyaman dua agensi media asing berhubung laporan penerbitan artikel berniat jahat mengenai perancangan pembangunan kasino di Forest City.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg berhubung perancangan pembinaan kasino di Forest City.

Mereka menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit atas dakwaan itu. — The Star/AUSTIN CAMOENS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram