KEPUTUSAN Piala Thomas 2024 menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan penantian memperoleh kedudukan podium (podium) selama lapan tahun selepas meraih tempat ketiga.
Ia adalah hasil daripada kejayaan mara ke separuh akhir selepas berjaya melepasi cabaran Denmark, Chinese Taipei dan Algeria di peringkat kumpulan sebelum menumbangkan Jepun semasa pertarungan suku akhir.
Perjalanan Malaysia terhenti di separuh akhir apabila tumpas 1-3 di tangan tuan rumah China. Berdepan pasukan pilihan, memang sukar untuk kita meraih kemenangan.
BACA LAGI: Pesan Roslin Hashim buat BAM, 'mulakan kerja dari sekarang'
Lee Zii Jia sering menjadi sasaran kritikan apabila tewas. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star
BACA LAGI: 'Tidak adil kepada pemain lain', Roslin Hashim pertikai 'layanan istimewa' Lee Zii Jia
Namun begitu, timbul cakap-cakap mengenai kekuatan mental para pemain negara yang dilihat berada di tahap lemah kerana tumbang di waktu genting seperti separuh akhir Piala Thomas.
Namun begitu, bagi bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim, dia menepis dakwaan itu sebaliknya tekanan peringkat setinggi itu akan menggugat mental sesiapa saja.
Jelas Roslin, tekanan itu datang bukanlah daripada perlawanan itu sendiri tetapi lebih kepada sokongan padu penyokong China terhadap pasukan mereka.
"Mengenai tahap mental pemain Malaysia, ada yang kata lemah itu nak kata ia ketara sangat pun tidak juga. Tapi, apabila kita bermain di peringkat yang tertinggi terutamanya acara berpasukan.
"Tekanan itu akan datang kepada pemain, walaupun mereka sudah ada pengalaman. Nak cakap mental mereka lemah itu tak juga, cuma ia masih boleh dibaiki.
"Tekanan itu datang apabila berdepan China sebagai tuan rumah. Ia bukan datang daripada permainan tetapi sokongan penyokong China. Tapi pada saya, ia adalah satu pengalaman besar buat para pemain apabila berdepan China," kata Roslin kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Roslin turut memuji persembahan skuad Malaysia yang berjaya mara hingga ke separuh akhir.
Menurutnya, pencapaian itu adalah baik kerana pada asalnya harapan diletakkan untuk Malaysia sekadar singgah di suku akhir.
"Secara keseluruhan, persembahan skuad negara memang baik walaupun bukanlah terbaik tapi dapat layak ke separuh akhir adalah pencapaian yang baik.
"Kalau diikutkan, kita cuma ramal untuk ke suku akhir tetapi mereka telah berikan persembahan terpuji dan meraih tempat ketiga adalah satu pencapaian baik," ujar Roslin.
Piala Thomas akan kembali lagi pada 2026 dengan Denmark dipilih sebagai tuan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram