PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka yang sengaja memfitnah konon kerajaan mahu membuka kasino di Forest City, Johor, seharusnya disumbat ke dalam penjara.
Katanya, pihak yang mencetuskan isu itu tiada modal kerana sengaja membuat tohmahan dan mencipta fitnah sesuka hati kepada pemerintah.
“Senang-senang beri tohmahan. Fitnah sesuka hati, mereka tak ada modal lain, kononnya Anwar dah lulus kasino di Johor. Apa benda ini, tak pernah saya dengar, tak pernah orang usulkan dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tak pernah maklumkan kepada saya untuk ada kasino dan perjudian di sana.
“Jadi tohmahan ini dari mana? Dari penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi mereka ini sebenarnya boleh ganti bilik-bilik saya di penjara Sungai Buloh,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
BACA LAGI: Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus, pendapatan bulanan cecah RM2,000 — PM Anwar
Papagomo (kanan) direman atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Anwar turut mengingatkan mana-mana pihak tidak menyebarkan kenyataan yang tidak berasas termasuk menyentuh institusi raja dalam membuat tohmahan.
“Nak kritik tidak mengapa, kamu kritik Perdana Menteri tidak mengapa sebab saya boleh jawab. Ini kamu kritik raja-raja yang kita sanjung dan muliakan dan ada dalam Perlembagaan.
“Kalau kita ada sistem raja, tak boleh dijadikan macam orang politi, serang sesuka hati. Kalau saudara serang apatah lagi fitnah, jawapannya pendakwaan, hukuman dan penjara, jadi jangan marah saya konon saya tidak demokratik, keras dan kuku besi,” katanya.
BACA LAGI: Dakwaan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, peguam sahkan Papagomo direman 2 hari
Sebelum ini, Anwar menafikan laporan yang mengatakan kerajaan sedang menimbangkan untuk mengeluarkan lesen kasino kedua bagi Forest City selepas Genting Highlands dan menyifatkan ia sebagai tidak betul dan bohong.
Pada Selasa, ahli Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyiarkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial, Jumaat lalu.
Terbaharu, penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris direman dua hari hingga Khamis, atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram