Tiga padah menanti jika anak muda gopoh beli kereta 'have-have' tak setanding gaji


  • Bizz
  • Selasa, 14 Mei 2024

Muncul trend baharu menunjukkan keghairahan golongan muda untuk membeli kereta mewah, tidak setanding pendapatan bulanan yang diperoleh. — Gambar hiasan

MEMILIKI kereta mewah adalah impian kebanyakan individu kerana ia boleh menjadi simbol status sosial dalam masyarakat.

Bagi sesetengah individu, kereta mewah bukan sahaja melambangkan kekayaan dan kemewahan tetapi juga mampu memberikan kepuasan yang tersendiri.

Tidak menjadi masalah sekiranya individu dengan status kewangan yang kukuh membeli kereta mewah yang diidamkan.

BACA LAGI: Ramai anak muda idam kereta 'have-have', tak ukur baju di badan sendiri

BACA LAGI: Usah percaya gambar internet, cek tunggakan, ejen hartanah kongsi tip beli rumah lelong

1

Jenama kereta menjadi lambang kemegahan dan kemewahan kerana jarang orang yang mampu memilikinya. — Gambar hiasan

Ini kerana realitinya, kereta mewah memerlukan anda memberikan komitmen bulanan yang tinggi, dengan hanya paras gaji tertentu sahaja yang mampu membayarnya secara konsisten.

Namun apabila muncul trend baharu menunjukkan keghairahan golongan muda untuk membeli kereta mewah, tidak setanding pendapatan bulanan yang diperoleh, ia sudah menjadi satu hal yang tidak sihat.

Seperti perkongsian seseorang pembantu jualan jenama kereta tempatan baru-baru ini, mengendalikan permintaan seolah-olah 'tidak masuk akal' itu merupakan antara cabaran yang perlu dihadapinya.

Wanita itu mendedahkan ramai anak-anak muda kini yang berhasrat untuk membeli kereta mewah meskipun dengan gaji yang sedikit.

Mengulas mengenai situasi tersebut, Pakar Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, anak muda ketika ini terlalu mudah terpengaruh dengan media sosial termasuk keinginan memiliki kereta mewah.

"Orang muda yang berfikiran begini maknanya mereka tidak berfikiran panjang.

"Memang dia akan fikir baik beli kereta sebab rumah mahal sangat, sedangkan rumah adalah aset," katanya kepada Majoriti.

Shamsuddin dalam pada itu turut menyenaraikan tiga implikasi negatif sekiranya anak muda masih cenderung meneruskan hasrat untuk membeli kereta mewah.

2

Tangkap layar perbualan seorang pembantu jualan dengan remaja berusia 19 tahun.

1. Kereta adalah liabiliti

Kereta termasuk dalam pelaburan besi buruk atau disebut liabiliti. Semahal mana harga kenderaan anda, nilainya akan jadi menyusut.

Hakikatnya, beli kereta untuk dipakai sendiri ialah satu liabiliti.

Ini bermaksud, wang tidak akan bertambah, sebaliknya wang terpaksa dikeluarkan.

Apatah lagi jika kenderaan tersebut sudah digunakan hampir 10 tahun, kereta tersebut kebiasaannya akan dianggap tidak laku, lebih-lebih lagi jika ia adalah kereta continental.

Sebagai contoh, jika anda membeli kereta baharu yang berharga RM100,000, belum tentu anda dapat menjualnya dengan harga RM30,000 kelak.

2. Penyelenggaraan tinggi

WhatsApp Image 2024-05-10 at 10.21.41

Shamsuddin

Selepas membeli kereta, anda perlu menitikberatkan soal penjagaan kereta pula, ia merupakan komitmen masa panjang.

Kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi sebenarnya lebih menambahkan beban terutamanya buat anak muda yang pendapatannya masih rendah.

Fikirkan juga komitmen asas seperti bayaran cukai jalan, minyak petrol, insurans dan penyelenggaraan kecil atau besar.

Dalam pada itu, risikonya juga adalah pada Nisbah Khidmat Hutang atau Debt Service Ratio (DSR).

Ia adalah formula ratio yang digunakan bank untuk mengira sama ada seseorang layak atau tidak untuk mendapat pinjaman.

Apabila buat pinjaman dengan bank, pertama sekali mereka akan semak DSR.

Jika anda perlu membayar bayaran bulanan untuk kereta, maka peluang untuk membeli rumah juga akan terhad.

Ini kerana bank akan akan pastikan setiap peminjam mampu membayar semula pinjaman rumah yang dipinjam.

3. Sukar buat pelaburan masa hadapan

4

Anak muda juga sukar untuk membuat pelaburan bagi kegunaan masa hadapan kerana wang telah banyak dileburkan kepada liabiliti.

Ia sekali gus tidak mendidik generasi muda menjadi seorang yang matang.

Walaupun anda bergaji besar, tapi dari segi pengurusan kewangan akan menjadi lebih teruk selepas itu, malah berisiko dikelilingi hutang.

Tidak mustahil, usaha untuk menyimpan wang buat mendirikan rumah tangga juga akan terbantut kerana banyak wnag sudah dihabiskan untuk membayar kereta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram