SEORANG warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya terjatuh dari sebuah jejambat di kilometer 10.1 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Kubang Semang, Pulau Pinang pada Ahad.
Insiden ngeri tersebut sempat dirakam pengguna jalan raya sebelum dimuat naik di laman X (Twitter) pada Isnin.
Berdasarkan klip berdurasi 13 saat itu, mangsa dilihat sudah berada dalam keadaan tertiarap di atas jalan raya.
Katanya jatuh dari flyover Lebuhraya Butterworth - Kulim, Kubang Semang, Pulau Pinang.
Siapa yang ada maklumat boleh share ya.. pic.twitter.com/Ig38dBHnZQ
— iftitah_rozlan (@iftitahrozlan) May 13, 2024
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 4.40 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 60-an yang datang dari arah Seberang Jaya menghala ke Kubang Semang.
"Semasa menunggang motosikal di atas jejambat Kubang Semang, mangsa didapati terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang besi dan jatuh ke bawah, di atas jalan raya lebuh raya BKE.
Selain orang awam, beberapa anggota polis difahamkan sudah pun berada di lokasi kemalangan.
"Mangsa yang mengalami kecederaan di muka dan badan dibawa ke Hospital Seberang Jaya, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut agar tampil untuk membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram