Tak termakan isu perkauman, agama bukti Umno berjaya pujuk pengundi bantu tawan KKB


  • Politik
  • Selasa, 14 Mei 2024

Sock Tao memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 3,869 di Kuala Kubu Bharu. — Facebook Xiao Tao

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi gabungan itu sejak tiga penggal lalu.

Sock Tao memperoleh sebanyak 14,000 undi dengan majoriti 3,869 sekali gus menewaskan pesaing terdekatnya Khairul Azhari daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperolehi 10,131 undi.

Antara isu yang timbul hasil daripada keputusan tersebut adalah mengenai perubahan corak pengundi Melayu yang didakwa kini mula sokongan positif terhadap Umno ketika PRK tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Sabah Sarawak dah lama buat tapi ada sebab konsep niaga 'based on trust' tak boleh pakai di Semenanjung

BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’

Situasi itu dikatakan jauh berbeza dengan trend dilaporkan berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun lalu yang menyaksikan undi kumpulan tersebut hampir sebahagian besarnya terarah kepada PN.

Perkembangan tersebut turut dikongsikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang mendakwa parti itu bersama gabungannya Barisan Nasional (BN) berjaya mempamerkan peningkatan dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

Ujarnya, kesemua lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu dalam PRK KKB menyaksikan peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada calon Kerajaan Perpaduan di sebalik keputusan gabungan terbabit untuk meletakkan calon bukan Melayu daripada parti DAP yang merupakan parti komponen PH.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, trend perubahan tersebut sememangnya diakui berlaku ketika PRK KKB.

Katanya, perubahan itu dapat dilihat menerusi kejayaan calon PH untuk memenangi beberapa PDM majoriti Melayu penting seperti Pertak, Air Jernih, Bandar Utama Batang Kali dan Kerling.

"Maknanya memang ada sumbangan dari Umno itu sendiri terutamanya dalam memujuk pengundi teras mereka di situ untuk memberikan undi kepada calon Kerajaan Perpaduan," katanya kepada Majoriti.

Exclusive interview with Umno president Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi during the Umno General Assembly in World Trade Centre yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Beliau berkata, antara faktor menyumbang kepada perkembangan tersebut adalah perubahan sikap pengundi Melayu terutamanya di kawasan bercampur seperti KKB yang melihat isu Melayu-Islan dimainkan ketika ini sebagai sudah melebihi had yang sepatutnya.

Untuk rekod, demografi bercampur bagi DUN KKB terdiri daripada pengundi Melayu yang merangkumi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

Selain itu, beliau berkata, prestasi kurang memuaskan wakil rakyat PN yang memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor turut menjadi punca kepada trend perubahan dalam kalangan pengundi Melayu.

"Dengan kedua faktor itu, Umno berjaya pujuk dan urus kembali akar umbi mereka memandangkan naratif dimainkan pada PRK kali ini melihat kepada fakta yang menyatakan adalah sukar Umno bergerak sendiri jika tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak," ujarnya.

Menyentuh mengenai sejauh mana perkembangan itu mampu memberi kesan terhadap politik di peringkat nasional, Mujibu berkata, beliau yakin bahawa ia bakal membuka ruang kepada penambahbaikan khususnya melibatkan parti yang membentuk kerajaan.

Malah, beliau berkata, keputusan itu juga bakal membuka jalan terhadap untuk mewujudkan super grand coalition antara PH dan BN khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

"Ini bukan bukan sahaja dalam konteks PRK, tapi juga dari segi pentadbiran di peringkat kerajaan di Persekutuan dan Negeri.

"Mungkin juga keserasian itu dilakar dalam bentuk kerjasama lebih formal memandangkan pada ketika ini hanya bersifat sementara bagi bentuk kerajaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram