KEMENANGAN majoriti selesa dan meyakinkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) membuktikan sokongan pengundi masih kuat kepada Kerajaan Perpaduan.
Memetik laporan Buletin Utama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kejayaan itu juga menunjukkan kekuatan baharu Kerajaan Perpaduan melalui kesepakatan kempen yang baik antara PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan berjaya menang dengan majoriti yang melangkaui jangkaan ramai, walaupun PH sebelum ini dijangka hanya mampu menang dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.
BACA LAGI: [TIDAK RASMI] PRK KKB: PH menang di KKB, Pang Sock Tao mendahului 3 pencabar lain
BACA LAGI: [TIDAK RASMI] PRK KKB: PH menang di KKB, Pang Sock Tao mendahului 3 pencabar lain
“Walaupun sebelum pilihan raya ini, ramai penganalisis kata PH boleh menang tapi dalam lingkungan majoriti tidak sampai 1,000, namun majoriti kita capai hari ini melangkaui jangkaan ramai pihak. Mungkin ramai penganalisis tidak menjangkakan keputusan ini.
“Sock Tao mendapat satu majoriti cukup meyakinkan, dengan 14,000 undi dan majoriti lebih 3,800. Ini adalah suatu kemenangan yang sangat meyakinkan," katanya pada Sabtu.
Ujar Anthony, Kerajaan Perpaduan juga memperoleh pertambahan undi daripada pengundi masyarakat Orang Asli dan pengundi awal sekali gus menunjukkan bahawa gabungan tersebut mampu meraih sokongan pelbagai kaum.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan atas kesepakatan yang baik dalam kempen.
Sock Tao bergambar bersama pengundi di di pusat mengundi SJKC Khing Ming pada Sabtu.
"Terima kasih juga khususnya jentera dari PH, BN dan GPS yang turut sama membantu," jelasnya.
PRK DUN KKB menyaksikan Sock Tao berjaya memperolehi lebih 14,000 undi dalam PRK DUN KKB yang berlangsung pada Sabtu.
Sementara pencabar terdekat, calon daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut meraih 10,131 undi; calon Bebas, Nyau Ke Xin, 188 undi dan Hafizah Zainudin mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) 152 undi.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan mahu Sock Tao yang menang dengan 3,869 majoriti undi sentiasa bersikap merendah diri dan memulakan tugas dengan serta-merta selain sentiasa merapatkan hubungan antara masyarakat.
Katanya, banyak agenda yang perlu dilaksanakan, bukan sahaja peranan Sock Tao yang akan menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat, namun tanggungjawabnya membangunkan ekonomi tempatan khususnya mempromosikan eko pelancongan di Kuala Kubu Bharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram