Pengundi luar bukan alasan, PN tak perlu buat petisyen — Pakar politik


  • Politik
  • Ahad, 12 Mei 2024

Sock Tao (tiga dari kiri) memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 3,869 di Kuala Kubu Bharu. — Facebook Xiao Tao

PENGANALISIS politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat faktor peratusan pengundi luar rendah gara-gara tidak balik mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu bukan satu alasan.

Menurutnya, punca menyebabkan kekalahan Perikatan Nasional (PN) tersebut tidak boleh dijadikan sebagai sebab utama kerana politik merupakan tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.

"Nilai politik terletak pada apa yang dimahukan oleh masyarakat setempat dalam memberikan partisipasi yang penuh untuk menentukan hala tuju demokrasi negara dan kawasan sekitar KKB," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Kemenangan PRK KKB tunjuk kekuatan baharu Kerajaan Perpaduan — Anthony

BACA LAGI: [RASMI] PRK KKB: PH menang di KKB, Pang Sock Tao mendahului 3 pencabar lain

2689206

Peratusan pengundi rendah punca kekalahan PN bukan alasan. — Gambar hiasan/The Star

Felo Operasi Psikologi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, alasan tersebut berkemungkinan tidak tepat dalam apa jua keadaan kerana kawasan KKB masih dalam kategori bandar yang memberi pelbagai kemudahan bagi para pengundi luar.

Katanya, terdapat faktor luar lain yang mungkin menyebabkan kepada kekalahan itu.

"Mungkin aspek-aspek cara kumpulan-kumpulan tertentu ini berkempen dan masih lagi membawa agenda tidak berteraskan pembangunan negara menyebabkan ramai tak berminat nak mengundi," katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa petisyen yang mahu dilakukan oleh PN selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK itu tidak perlu dilakukan.

Katanya, ia kerana sudah jelas sudah ada keadilan dan ketulusan dalam pengiraan undi itu.

"Kemenangan PH itu juga sebenarnya perlu diakur oleh semua pihak. Semua parti juga perlu menggunakan demokrasi matang," tambahnya.

Perak Datuk Ahmad Faizal Azumu (middle) having a press conference on workforce transformation programme.

Ahmad Faizal berkata, isu petisyen akan dikaji semula sebelum direalisasikan. — The Star

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kekalahan mungkin berpunca daripada peratusan keluar mengundi pada PRK yang rendah iaitu sekitar 61 peratus.

Ketua Penerangan Pemuda PN, Nadzir Helmi kemudiannya berkata, isu petisyen pilihan raya yang diumumkan sebelum ini akan dikemukakan jika PN kalah pada PRK KKB bakal direalisasikan.

Pada 6 Mei lalu, Ketua Whip Pembangkang merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan menegaskan PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya jika PH memenangi PRK KKB.

Dakwanya, tindakan tersebut susulan kerajaan telah melakukan salah guna kuasa dan jentera sebelum dan ketika kempen PRK KKB berlangsung.

Pada Sabtu, PH menerusi calonnya, Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi, sekali gus menewaskan PN yang diwakili Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi manakala calon Bebas, Nyau Ke Xin meraih 188 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) hanya 152 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram