Pulang ke tanah air jika tiada visa haji sah — Mohd Na’im 


  • Primer
  • Selasa, 14 Mei 2024

Rakyat Malaysia di Tanah Suci yang tidak mempunyai visa haji sah dinasihatkan untuk pulang ke tanah air.

RAKYAT Malaysia di Tanah Suci yang tidak mempunyai visa haji sah dinasihatkan untuk pulang ke tanah air, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau turut memaklumkan, Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini belum menerima laporan rasmi berhubung kes rakyat Malaysia yang terkandas di Makkah dan Madinah selepas dilaporkan terpedaya dengan pakej haji menggunakan visa pelancong.

Justeru, Mohd Na’im meminta agar mereka yang berasakan diri telah terpedaya membuat aduan kepada TH, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk siasatan lanjut.

BACA LAGI: Kos haji semakin meningkat, HAFIS antara bantuan disediakan demi ringankan beban

BACA LAGI: 6,000 bakal jemaah haji Selangor terima insentif RM500

naim

Mohd Na’im

“Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan TH,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Mohd Na’im, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Sebelum ini TH diarah menyiasat kejadian 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah selepas terpedaya dengan pakej haji murah ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

TH belum menerima laporan rasmi berhubung kes rakyat Malaysia terkandas di Makkah dan Madinah.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan penalti berjumlah 10,000 riyal (RM12,641) jika melanggar peraturan musim haji 2024 tanpa permit haji.

Tujuh kawasan ditetapkan itu ialah Makkah, wilayah Tengah, Masayir, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Menurutnya, penalti itu akan dikenakan terhadap kesemua individu termasuk warga tempatan manakala rakyat asing yang ditahan akan dihantar pulang dan dilarang memasuki negara itu untuk tempoh yang ditetapkan di bawah peraturan berkenaan.

Difahamkan, pelanggaran peraturan itu boleh membawa kepada hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga 50,000 riyal (RM63,096). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram