6,000 bakal jemaah haji Selangor terima insentif RM500


  • Primer
  • Isnin, 29 Apr 2024

Seramai 6,000 bakal jemaah haji akan menerima peruntukan sebanyak RM500 pada 2024. — Gambar hiasan

KERAJAAN Selangor melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) mengumumkan sebanyak RM3 juta diperuntukan bagi insentif haji muassasah pada 2024.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM500 diberikan kepada seramai 6,000 bakal jemaah di Selangor menerusi insentif tersebut.

BACA LAGI: Kadar bayaran haji berbeza buat golongan B40 dan M40, T20 kena bayar penuh RM33,300

NO CAPTION, MUST USE CREDIT: KK SHAM/The Star

Amirudin mengumumkan bahawa peruntukan tersebut adalah lebih banyak berbanding 2023. — The Star

BACA LAGI: MKM terima lesen kendali jemaah haji, tawar baucar diskaun bernilai RM1 juta

Beliau berkata, jumlah bakal jemaah yang dibantu dan amaun yang diperuntukkan pada 2024 adalah dua kali ganda berbanding 2023.

"Sebagai persediaan memasuki bulan Zulkaedah, MBI akan melaksanakan insentif haji muassasah seperti yang diluluskan dalam Belanjawan Selangor 2024 pada November lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, bagi memudahkan proses pendaftaran, bakal jemaah boleh memohon untuk insentif itu bermula 6 Mei hingga 23 Ogos ini di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan membawa salinan bercetak jadual penerbangan haji muassasah 2024 dengan paparan KOD MUAS.

"Insentif ini akan dilaksanakan melalui kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, Pejabat Penyelaras DUN, dan MBI.

"Saya berharap usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini," tambahnya.

Katanya, insentif haji yang mula dilaksanakan sejak 2022 itu telah membantu seramai 6,000 jemaah muassasah di negeri itu.

"Seramai 3,000 jemaah dibantu pada tahun 2022, dan 3,000 lagi jemaah pada tahun lalu," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram